ALOR SETAR 14 Jun - Pas tidak akan menyambut cadangan kerjasama yang dihulurkan oleh UMNO pada masa ini walaupun atas nama penyatuan Melayu kerana telah serik dengan sejarah silam.
Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu (gambar)berkata, UMNO hanya menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan Pas apabila mereka berasa tersepit seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1969.
Bagaimanapun, katanya, selepas itu Pas ditendang keluar oleh UMNO apabila parti itu kembali kuat dan pulih.
"Sekarang apabila UMNO kembali lemah, mungkin akan kehilangan Putrajaya, sekali lagi dia menghulurkan tangan, marilah kita bersatu," katanya ketika berceramah sempena pelancaran perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di Kompleks Pas Kedah di sini, malam tadi.
Pada ceramah sulungnya di negeri ini sebagai orang nombor dua Pas, Mohamad turut menggunakan pentas tersebut untuk menyerang kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang didakwa menjadi punca kepada pelbagai masalah dihadapi oleh rakyat negara ini.
Beliau yang sering menggunakan bahasa kasar ketika berucap bagi menarik perhatian hadirin mendakwa, UMNO yang menyebabkan orang Melayu semakin hilang kuasa apabila melakukan persempadanan semula menjelang PRU pada 2004.
Mengenai perhimpunan Bersih yang dijadual diadakan di ibu negara pada 9 Julai ini, Mohamad mendakwa, perhimpunan itu tidak akan menimbulkan kekacauan atau menyebabkan kerosakan harta benda kerana ia akan diadakan secara aman.
No comments:
Post a Comment