Pages

Monday, June 27, 2011

Muslihat hidupkan fahaman komunis


ABD. RAHIM (dua dari kiri) menunjukkan barangan yang dirampas daripada kumpulan dipercayai ahli PSM di Kepala Batas, Pulau Pinang semalam.


KEPALA BATAS - Polis percaya kumpulan 31 warga tempatan yang ditahan di Plaza Tol Sungai Dua, Butterworth, dekat sini ketika menaiki sebuah bas petang kelmarin, cuba menghidupkan semula fahaman komunis di negara ini.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abd. Rahim Jaafar berkata, ia berdasarkan penemuan pelbagai bukti yang ditemui dan dirampas pihak polis di dalam bas yang dinaiki oleh kumpulan tersebut.

"Kumpulan itu dilihat cuba mewujudkan semula fahaman komunis menerusi Perhimpunan Bersih yang dirancang diadakan nanti.

"Ini satu perkara serius yang boleh mengancam keselamatan negara," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di sini semalam.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) akan mengadakan perhimpunan di ibu kota pada 9 Julai ini.

Menurut Abd. Rahim lagi, beberapa barangan yang dirampas daripada kumpulan terbabit dengan jelas cuba menghasut rakyat supaya menentang kerajaan dengan menyertai Perhimpunan Bersih terutamanya menerusi beberapa jenis risalah yang dicetak dalam pelbagai bahasa.

Selain itu katanya, beberapa helai baju-T berwarna merah yang dirampas juga ada mempunyai cetakan gambar pemimpin fahaman komunis iaitu Abdullah C.D., Rashid Maidin, Chin Peng dan Suriani Abdullah selain beberapa helai baju lain yang tertera tulisan serangan neo-liberal rakyat terus sengsaradan anti-capitalism.

Jelas Abd. Rahim, polis turut merampas 15 naskhah akhbar Sosialis berbahasa Tamil, 10 naskhah akhbar Sosialis berbahasa Melayu, 15 bendera logo Parti Sosialis Malaysia (PSM), 600 helai risalah tertera Perhimpunan Bersih 2.0 dalam bahasa Melayu dan 1,500 helai risalah PSM dalam bahasa Melayu.

Kosmo! Online - Negara

No comments:

Post a Comment