Pages

Monday, June 6, 2011

‘Mak tolong bawa Lisa balik’

Ibu kecewa anak gadis kahwin, lahir bayi di Lombok hidup sengsara

KLUANG: Seorang ibu dari Simpang Renggam di sini, tidak menyangka anak gadisnya yang menghilangkan diri tiga tahun lalu dan disangkanya bekerja di bandar raya, sebenarnya lari meninggalkan keluarga kerana mengikut teman lelakinya ke Lombok, Indonesia.

Malah, Joriyah Ismail, 41, seorang pekerja kilang, turut terkejut apabila anak sulungnya Norhalisa Umno@Mohammad Jaafar, 23, memberitahu dia kini sudah melahirkan anak lelaki berusia satu setengah tahun selepas berkahwin dengan kekasih hatinya yang dikenali sebagai Man di Lombok.

Rahsia itu terbongkar selepas Norhalisa mula menghubungi ibunya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) sejak dua bulan lalu, bagi meminta bantuan membawa diri serta anaknya, Haiqal, pulang ke Malaysia selepas sengsara ditinggal suaminya yang kini bekerja di Brunei selain tidak diterima keluarga mentuanya.
Malah beberapa SMS yang dihantar Norhalisa termasuk: “Ampunkan Lisa mak, sebab buat mak dengan adik-adik macam ini” dan “Mak, tolonglah bawa Lisa dengan Haiqal balik Simpang Renggam cepat-cepat. Lisa sakit kat sini, sekarang pun numpang rumah orang... mentua orang tak suka orang dengan Haiqal" meruntun naluri keibuan Joriyah.

Joriyah berkata, selepas anaknya itu menghilangkan diri secara tiba-tiba pada 2008 ketika dia keluar bekerja, Norhalisa mula menghubunginya semula Mac lalu bagi bertanya khabar dirinya serta lima orang adik beradiknya.

"Saya amat sedih, kecewa dan marah atas tindakan Norhalisa yang menghilangkan diri dari rumah ketika berusia 19 tahun dan tiba-tiba menghubungi saya semula menerusi SMS bagi menyatakan dirinya sudah berkahwin dan melahirkan anak di Lombok.

"Dia tidak tahu macam mana kami sekeluarga puas mencarinya ke sana sini sejak tiga tahun lalu, namun saudara-mara akhirnya memujuk mengatakan dia akan kembali dan mungkin bekerja di bandar untuk mencari pengalaman hidup selepas tamat sekolah seperti rakan-rakannya yang lain.
"Walau hati saya hancur apabila mengetahui perkara sebenar, saya juga tidak sanggup melihat darah daging saya sendiri menderita apatah lagi apabila mengetahui dia sebatang kara jauh di negara asing bersama anaknya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam sambil ditemani suami, Yunus Mat Zin, 45.
Berita Harian Online | ‘Mak tolong bawa Lisa balik’

No comments:

Post a Comment