Pages

Friday, June 24, 2011

Kes bunuh diri meningkat di Jepun

Penduduk dibelenggu rasa bersalah, hadapi tekanan teruskan hidup selepas tsunami

IWATE: Kejadian bunuh diri dikalangan penduduk yang menjadi mangsa tragedi gempa bumi dan tsunami di Fukushima semakin meningkat berikutan ramai penduduk gagal mengatasi tekanan yang dialami.

Antara yang terbabit termasuk seorang penternak yang menulis nota menggunakan kapur di dinding kandang lembunya, 11 Jun lalu.
“Alangkah baiknya jika tiada loji nuklear,” menurut mesej yang ditulisnya merujuk kepada loji nuklear Fukushima yang terletak 45 kilometer dari ladangnya. Lelaki itu membunuh semua haiwan ternakannya sebelum membunuh diri selepas penghantaran susu dari kawasan itu dihentikan.

“Saya sudah kehilangan upaya untuk meneruskan hidup dan bekerja,” katanya lagi. Kes petani itu bukanlah luar biasa.

Mac lalu, seorang penanam kubis di Sukagawa, Fukushima, menggantung diri selepas sisa radioaktif dikesan dalam tanah ladang menyebabkan sekatan dikenakan ke atas hasil keluaran tempatan.

Seorang lagi lelaki di Ofunato, Iwate, membunuh diri selepas kehilangan keluarga, rumah dan perniagaan berikutan tragedi gempa bumi dan tsunami.
Hubungan antara kemurungan dan kejadian bunuh diri kerap dilaporkan terutama di Jepun, di mana masalah murung dipercayai punca utama tindakan bunuh diri.
Perangkaan Jabatan Polis Negara menyatakan kejadian membunuh diri pada Mei di seluruh Jepun meningkat 20 peratus berbanding bulan sama tahun sebelumnya dan pakar percaya jumlah keseluruhan tahun ini dijangka melebihi 30,000 kes, angka sama selama 14 tahun berturut-turut.

Khabar angin mengenai kejadian bunuh diri semakin kerap kedengaran di Yamada, salah sebuah bandar yang paling teruk terjejas akibat tsunami.

Salah seorang daripada mangsa kehilangan isteri dan dua orang anak akibat tsunami, tidak dapat mengatasi tekanan lalu membunuh diri,” kata pegawai kesihatan di Yamada, Yuko Sasaki.

Bagaimanapun, katanya, ancaman membunuh diri dalam bentuk lain semakin membimbangkan.

“Keadaan semakin tenang, namun kita bimbang kesan psikologi penduduk yang kehilangan segala-galanya,” katanya. – Agensi
Berita Harian Online | Kes bunuh diri meningkat di Jepun

No comments:

Post a Comment