Pages

Monday, June 27, 2011

Israel ancam penjara aktivis flotila Gaza


Foto
ANTARA poster flotila baru Gaza untuk tatapan umum.



WASHINGTON: Amerika Syarikat dan Israel memberi amaran kepada aktivis antarabangsa rancangan mereka memecah sekatan Gaza akhir bulan ini adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan berbahaya.
Satu laporan mendedahkan, rejim Zionis sudah menyiapkan penjara untuk aktivis terbabit selain memberi kata dua kepada media wartawan yang menyertai flotila kedua ke Gaza tidak akan dibenarkan masuk ke negara Yahudi itu selama bertahun-tahun.
“Kumpulan yang cuba memecahkan sekatan laut ke atas Gaza adalah tidak bertanggungjawab dan melakukan provokasi yang boleh memberi risiko keselamatan kepada pesertanya,” kata kenyataan jurucakap Jabatan Negara Amerika, Victoria Nuland.

“Kami ingin menekankan, penghantaran atau cubaan bersubahat untuk menghantar bahan sokongan atau sumber lain untuk pertubuhan pengganas asing seperti Hamas, boleh dianggap melanggar undang-undang sivil dan jenayah yang boleh dihukum denda dan penjara,” kata Nuland.

Akhbar Israel, Haaretz pula mendedahkan tentera Israel mengadakan latihan besar-besaran membabitkan komando khas dan anggota penembak tepat sebagai persediaan memintas flotila berkenaan.

Kenyataan beliau disifatkan ugutan ke atas aktivis oleh kerajaan Amerika, satu tindakan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah membabitkan penghantaran bantuan kepada penduduk ditakluki di wilayah terbabit.
Flotila kedua disertai 10 kapal yang membawa 1,000 aktivis daripada 20 negara termasuk Amerika. Palestin berkata sekatan laut Israel adalah tidak sah dan ia menjejaskan pembangunan ekonomi Gaza.

Nuland pula berkata, Amerika prihatin mengenai keadaan di Gaza, tetapi mendakwa keadaan semakin baik sejak tahun lalu, apabila lebih banyak jenis barangan dibenar dibawa masuk ke wilayah itu.

Beliau berkata, rampasan senjata selain serangan roket dan mortar dari Gaza ke atas orang awam Israel baru-baru ini menunjukkan perlunya pemeriksaan ka atas kargo menuju Gaza.

Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton percaya ada cara lebih baik untuk menghulurkan bantuan kepada penduduk Gaza.

“Kami percaya ada pendekatan lebih baik iaitu menyokong usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan penduduk Gaza memperoleh bahan dan bantuan kemanusiaan dengan cara selamat,” katanya.

Rabu lalu, Israel memberi amaran kepada PBB flotila bantuan baru yang dilapor akan bertolak dari pelabuhan di Eropah beberapa hari lagi akan menghadapi akibat buruk jika meneruskan misi.

Tel Aviv sudah menegaskan bahawa ia akan menghalang flotila baru itu daripada tiba di Gaza. Tahun lalu, sembilan aktivis Turki terbunuh dalam serbuan ke atas konvoi sama.

Tentera Israel dikritik hebat berikutan serangan pada Mei 2010 yang turut menyebabkan hubungannya dengan Turki terjejas teruk. – Agensi 
Berita Harian Online | Israel ancam penjara aktivis flotila Gaza

No comments:

Post a Comment