Pages

Friday, June 24, 2011

Indonesia henti hantar pekerja ke Saudi



SEKUMPULAN warga Indonesia menunggu pemeriksaan polis di Bekasi, Jawa Barat, untuk menaiki pesawat menjadi pekerja di Arab Saudi, semalam. - Foto REUTERS
SEKUMPULAN warga Indonesia menunggu pemeriksaan polis di Bekasi, Jawa Barat, untuk menaiki pesawat menjadi pekerja di Arab Saudi, semalam. - Foto REUTERS

Susilo mahu perjanjian jamin perlindungan rakyat di negara asing diwujudkan terlebih dulu

JAKARTA: Indonesia menghentikan sementara penghantaran pekerjanya ke Arab Saudi mulai 1 Ogos selepas seorang pembantu rumahnya dihukum pancung di Riyadh Sabtu lalu kerana kesalahan membunuh wanita majikannya.

Langkah sementara itu dikuatkuasakan sehingga kedua-dua negara itu mencapai kesepakatan melalui perjanjian yang menjamin perlindungan dan pemberian hak kepada tenaga kerja Indonesia.
Indonesia juga akan menetapkan satu dasar nasional mengenai penghantaran pekerjanya ke luar negara pada masa depan, selepas pasukan khas selesai membuat kajian mengenainya.
Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mengumumkan keputusan itu ketika berucap kepada rakyat menerusi siaran langsung stesen televisyen semalam.

Beliau membantah keras tindakan Arab Saudi melaksanakan hukuman mati terhadap pembantu rumah bernama Ruyati itu tanpa memberitahu Jakarta, tindakan yang melanggar prosedur antarabangsa.

“Langkah memperketat penghantaran pekerja Indonesia mulai semalam. Saya meminta warga negara Indonesia patuh menyokong moratorium ini dan tidak berusaha sendiri ke sana,” katanya.

Ketika berucap, Susilo meminta Menteri Luar, Marty Natalegawa; Menteri Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Patrialis Akbar dan Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi, Muhaimin Iskandar, menjelaskan tindakan yang diambil oleh kerajaan bagi menyelamatkan Ruyati serta warga Indonesia lain di luar negara yang menunggu hukuman mati.
“Keputusan yang ketiga ialah saya akan mengutus surat kepada Raja Arab Saudi Raja Abdullah Abdul Aziz, yang berisi tiga hal, pertama hubungan Indonesia dan Arab Saudi sebenarnya dalam keadaan baik, kecuali kes dan persoalan tenaga kerja Indonesia,” kata Susilo.

Ketika ini, 23 warga Indonesia menghadapi hukuman mati di Arab Saudi.

Pelaksanaan hukuman pancung terhadap Ruyati oleh Arab Saudi itu mengundang kecaman dan kritikan pelbagai pihak di Indonesia, yang menuduh Jakarta gagal memberi perlindungan sewajarnya kepada warga di luar negara, yang menunggu pelaksanaan hukuman mati. Kini 1.2 juta pekerja Indonesia bekerja di Arab Saudi, kebanyakannya amah. – BERNAMA
Berita Harian Online | Indonesia henti hantar pekerja ke Saudi

No comments:

Post a Comment