Pages

Sunday, June 26, 2011

Ibu bimbang keselamatan anak gadis hilang



Azliza Md. Isa


KEPALA BATAS 25 Jun – Seorang ibu tunggal, Aishah Md. Amin bimbang dengan keselamatan anak bongsunya, Azliza Md. Isa, 28, yang menghilangkan diri sejak tiga bulan lalu selepas dipercayai berkahwin tanpa persetujuan keluarga.

Aishah, 62, dari Taman Serdang di sini memberitahu, selepas Azliza meninggalkan rumah Mei lalu, dia bersama ahli keluarga yang lain menjalankan usaha mencari dan terkejut apabila mengetahui anaknya itu sudah berkahwin dengan seorang lelaki yang baru dikenali.

Lebih membingungkan katanya, lelaki tersebut dikatakan sudah berkahwin sebanyak dua kali malah status pendaftaran perkahwinannya sebelum ini juga diragui kerana bernikah di negara jiran.

“Saya kesal apabila Azliza sanggup membelakangkan kami dengan menikahi lelaki itu sedangkan sebelum ini dia hampir berkahwin dengan tunangnya selepas lapan tahun menjalin hubungan.

“Tindakannya itu amat memalukan kami sekeluarga kerana dia memilih suami orang sedangkan tunangnya amat baik dan setia menantinya selama ini,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Aishah, dia amat bimbang Azliza akan diabaikan serta menerima nasib sama seperti yang dialami dua isteri dan beberapa anak lelaki berkenaan.

Malah, katanya, siasatan di kampung lelaki berkenaan di Kedah mendapati, dia tidak mempunyai pekerjaan tetap dan dikhuatiri tidak mampu menyara isteri lebih daripada seorang.

“Kami juga diberitahu mengenai sikap lelaki berkenaan yang agak kasar dan kami bimbang ia bakal mengundang masalah lebih-lebih lagi Azliza merupakan seorang anak yang sensitif,” jelasnya.

Aishah yang bekerja sebagai pembantu gerai makan di sini menambah, Azliza keluar rumah pada 26 Mei lalu selepas dimarahi kerana menjalin hubungan dengan suami orang sedangkan dia sudah bertunang dan bakal berkahwin.

Utusan Malaysia Online - Utara

No comments:

Post a Comment