Pages

Thursday, June 9, 2011

Hilang lepas jumpa lelaki Bangladesh

KUALA LUMPUR: “Saya bimbang dengan keselamatan bapa yang gagal ditemui sehingga kini selepas keluar rumah berjumpa seorang lelaki warga Bangladesh pada 10 Mei lalu atas urusan kerja,” kata Tey Chin Soon, berhubung kehilangan bapanya, Tey Yu Hing, 59.

Chin Soon, 26, berkata bapanya yang bekerja sebagai ejen hartanah sejak lima tahun lalu berkenalan dengan seorang lelaki Bangladesh ketika berurusan mencari rumah sewa di Taman Pasir Gudang, Johor.


“Malah, sejak itu, bapa saya terbabit perniagaan mencari pekerja asing bersama lelaki itu dan bapa memberi RM160,000 bagi membuka syarikat berkenaan.

“Bagaimanapun, pada 10 Mei lalu, bapa saya keluar rumah kira-kira jam 9 pagi dengan memandu Proton Persona untuk berjumpa lelaki itu dan sehingga kini masih tidak pulang,” katanya pada sidang media di Wisma MCA, di sini, semalam.


Menurut Chin Soon, pada hari kejadian ibunya menerima panggilan daripada bapanya pada jam 6.37 petang, namun ibunya tidak sempat menjawab kerana sibuk menyediakan hidangan makan malam.


“Selepas memasak, ibu yang perasan bapa menghubunginya lantas menelefon semula, namun tidak berjawab malah telefon itu dimatikan.

“Pada mulanya kami tidak mengesyaki apa-apa sehingga bapa tidak pulang ke rumah,” katanya.


Selain itu, katanya, dia yang bimbang terjadi sesuatu kepada bapanya mencari mangsa di kawasan berhampiran rumah sewa lelaki Bangladesh terbabit keesokan harinya.

“Saya juga melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah stesen minyak dan mendapati pada jam 9.12 pagi bapa masih kelihatan di situ.


“Selepas itu, bapa pergi ke rumah lelaki Bangladesh terbabit yang berhampiran stesen minyak itu sebelum hilang,” katanya.


Chin Soon berkata, ibunya membuat laporan di Balai Polis Seri Alam, Johor dan pada 18 Mei lalu sebelum kereta bapanya ditemui di Jalan Dedap 23, Johor Jaya dengan enam saman berkaitan kesalahan letak kereta.


“Lelaki Bangladesh itu juga sehingga kini gagal dihubungi. Saya pernah pergi ke rumahnya untuk mencari bapa, namun dia sudah hilang,” katanya.

myMetro | Hilang lepas jumpa lelaki Bangladesh

No comments:

Post a Comment