Pages

Monday, June 6, 2011

Hampir lemas sewaktu pulang




KUALA NERANG - “Pengalaman hampir lemas semasa mahu kembali ke Malaysia kira-kira jam 4 pagi pada 4 Jun lalu pasti menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan,” kata Zarina Abu Bakar, 30, wanita yang ke Lombok, Indonesia selepas mengikuti teman lelakinya yang dikenali sebagai Helmi kira-kira dua tahun lalu.

Mengimbas kembali kejadian berkenaan, Zarina yang tidak pandai berenang berkata, dia dan beberapa orang lain yang mahu memasuki sempadan Malaysia melalui Ulu Tiram, Johor diarahkan terjun ke dalam laut kerana bot yang membawa mereka tidak menghampiri pesisiran pantai.

Menurutnya, sebaik sahaja terjun, dia tidak ingat apa-apa dan dimaklumkan oleh tekong bot bahawa dia pengsan.

“Nyawa saya masih panjang dan bersyukur kerana telah diselamatkan oleh tekong bot berkenaan dan saya mula sedar dari pengsan kira-kira jam 6 pagi.

“Kemudian dengan bantuan orang-orang tekong bot itu, saya telah dibawa untuk membeli tiket bas ke Kuala Lumpur kerana ibu saya, Maryam Kasim, 49, sudah menanti di sana,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Kuala Pai, Kuala Nerang.

Kisah Zarina sebelum ini mendapat liputan media cetak dan elektronik yang luas selepas dia merayu dan memohon bantuan untuk kembali ke negara ini selepas pergi ke Lombok pada September 2009.

Dia yang juga seorang ibu tunggal kepada tiga orang anak berusia 6, 7 dan 10 tahun pergi ke sana selepas teman lelakinya yang dikenali Helmi, 29, berjanji akan mengahwininya.

Menurutnya, pada awal perkenalan, dia terus jatuh hati kepada jejaka berkenaan yang mengambil berat akan dirinya.

“Pada awal berkenalan, sekiranya sehari tidak bertemu saya akan teringat-ingat kepadanya, setiap yang diperkatakan dan diminta olehnya langsung tidak dibantah.

“Saya pun tidak tahu mengapa saya tidak sabar-sabar mengikutinya pulang ke Lombok selain mendapat pelawaan dari pada ibu Helmi untuk pergi ke sana,” katanya.

Dia mengakui semasa di dalam perjalanan menuju ke sana melalui Ulu Tiram, ingatannya kepada ibu bapa dan juga anak-anak di Kedah seolah-olah tidak ada dan hanya memikirkan untuk ke Lombok saja.

“Saya seolah-olah dipukau tetapi pada waktu yang sama rasa sangat bahagia,” katanya.

Namun, selepas lima bulan menetap di Desa Jeruk Mani, Dusun Jawa Guar, Kacamantan Timur, barulah rasa rindu kepada kampung halamannya di Malaysia kembali berbunga.

Menurutnya, dia mendakwa selepas lima bulan menetap di sana, layanan ibu Helmi kepadanya semakin dingin.

“Selain menetap di rumah yang tidak mempunyai kemudahan elektrik dan air, kadang-kadang makanan tidak cukup dan perlu bergantung kepada roti sahaja, makanan yang sering saya jamah ialah ubi kayu, ubi keladi dan pucuk paku-pakis.

“Saya pun tidak tahu mengapa ibu Helmi bersifat dingin dan sering memarahi dan memukul saya, sifat ramah mesra seperti saya dengar di dalam telefon sebelum ini sudah tidak ada,” katanya.

Tambahnya, dia juga terpaksa pergi bekerja mengambil upah menanam padi dengan upah sebanyak RM2.50 sehari.

“Setiap hari saya memikirkan untuk pulang sahaja, selain hidup umpama pelarian di sana,” katanya yang mendapat bantuan suaminya untuk mendapatkan kad pengenalan palsu di sana dengan harga RM80.

Bagaimanapun, impiannya berkecai apabila Helmi membatalkan hasrat untuk berkahwin dengannya selepas dia melahirkan seorang anak perempuan hasil hubungan sulit dengan lelaki berkenaan kira-kira lima bulan yang lalu.

“Biarlah kisah perjalanan hidup saya ini menjadi iktibar dan pengajaran kepada wanita di negara ini supaya ia tidak akan berulang lagi.

“Kepulangan saya ke negara ini juga turut dibantu oleh Helmi selepas melihat saya sudah nekad untuk pulang ke Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Maryam ketika ditemui berkata, dia bersyukur kerana masih lagi dapat memeluk anak sulungnya itu.

“Setiap hari saya berdoa kepada Allah SWT, akhirnya doa saya dimakbulkan, saya mahu mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang banyak memberi dorongan kepada keluarga kami,” katanya.

Tambahnya, dia mendapat bantuan daripada adik angkatnya dari Kubor Panjang, Pendang, Kedah untuk membantu membawa pulang Zarina.

Kepulangan Zarina mendapat perhatian Ketua Pemuda UMNO Kedah merangkap Ketua Pemuda UMNO Bahagian Padang Terap, Badrol Hisham Hashim; Pengerusi Majlis Belia Daerah Padang Terap, Ismail Ibrahim dan Ketua Biro Remaja Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPI) Sharmila Ibrahim yang melawatnya.
SH

No comments:

Post a Comment