Pages

Tuesday, June 28, 2011

Empat pemimpin utama Khmer Rouge dibicarakan


EMPAT YANG TERTUDUH: (Dari kiri): Mantan ketua negara rejim Khmer Rouge, Khieu Samphan; mantan menteri luar, Ieng Sary; mantan menteri ehwal sosial, Ieng Thirith; dan 'Abang Nombor Dua', Nuon Chea, dibicarakan semalam. -- Foto REUTERS

Mahkamah jenayah perang dengar tuduhan pembunuhan beramai-ramai dan kekejaman lain semasa perintah Kemboja dalam 1970-an
PHNOM PENH: Empat pemimpin utama Khmer Rouge dibicarakan di sebuah mahkamah jenayah perang Kemboja yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam, atas dakwaan pembunuhan beramai- ramai dan beberapa kekejaman lain semasa pemerintahan rejim komunis berhaluan tegar itu di Kemboja pada 1970-an.
Kes tersebut, yang disifatkan paling rumit sejak perbicaraan kumpulan Nazi selepas Perang Dunia Kedua, memang lama dinantikan oleh mangsa gerakan itu, yang membunuh hampir seperempat penduduk Kemboja.Keempat-empat tertuduh menghadapi dakwaan pembunuhan beramai-ramai, jenayah kemanusiaan dan jenayah perang berhubung kematian sehingga dua juta orang akibat kelaparan, kerja berlebihan, penderaan atau hukuman mati semasa pemerintahan Khmer Rouge yang zalim antara 1975 dengan 1979.Kesemua empat suspek menafikan dakwaan-dakwaan itu termasuk pembunuhan beramai-ramai, khususnya pembunuhan rakyat Vietnam dan puak etnik Islam Cham.Nuon Chea, orang kanan mendiang pemimpin Khmer Rouge, Pol Pot, meninggalkan perbicaraan itu selepas hanya setengah jam untuk memprotes pengendalian siasatan dan proses perundangannya.'Saya tidak senang dengan perbicaraan ini,' kata Nuon Chea, 84 tahun, sebelum pulang ke pusat tahanannya.Pihak defenden dibenarkan tidak hadir jika mereka enggan bekerjasama.Mantan Menteri Ehwal Sosial Kemboja, Ieng Thirith, dan suaminya, mantan menteri luar, Ieng Sary, kemudian diizin tidak hadir atas sebab-sebab kesihatan, meninggalkan mantan ketua negara, Khieu Samphan, di dok tertuduh semasa perbicaraan.Kesemua tertuduh yang kini dalam lingkungan usia antara 70-an dengan 80-an tahun menghadapi pelbagai penyakit dan terdapat kebimbangan tidak semua daripada mereka mungkin masih hidup untuk menghadapi keputusan mahkamah.Prosiding rumit itu, yang dijangka memakan beberapa tahun, dilihat penting untuk memulihkan luka dalam negara yang menghadapi trauma itu.'Perbicaraan ini amat penting untuk mendapatkan keadilan bagi mereka yang mati dan mangsa yang selamat,' kata Cik Khem Nareth, 56 tahun, yang kehilangan emak dan saudara lelakinya akibat kekejaman rejim itu.Di akhir hari pertama perbicaraan, mangsa-mangsa meluahkan rasa puas mereka.'Kami puas hati dengan prosiding mahkamah hari ini (semalam). Kami amat gembira,' kata Encik Chum Mey, 80 tahun, salah seorang daripada mereka yang terselamat daripada penderaan zalim yang dijalanin di penjara Khmer Rouge. -- AFP.


FAKTA KES
Rejim terbabit:
  • Rejim komunis Khmer Rouge menguasai Kemboja pada April 1975 dan segera merubah masyarakat moden negara itu kepada sebuah negara 'ideal pertanian'.



  • Sehingga dua juta rakyat Kemboja mati kelaparan, didera dengan kerja berat dan dihukum mati di bawah rejim tersebut.



  • Khmer Rouge digulingkan oleh askar Vietnam dan bekas anggota rejim itu, termasuk Encik Hun Sen, yang kini Perdana Menteri Kemboja.



  • Di bawah pimpinan Encik Hun Sen, pemerintah Kemboja melawan Khmer Rouge sehingga gerakan itu runtuh pada lewat 1990-an.Tribunal:



  • Kemboja dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menandatangani perjanjian pada 2003 untuk mengadakan tribunal yang digelar 'Dewan Luar Biasa di Mahkamah Kemboja'.



  • Ia mahkamah yang menggabungkan unsur undang-undang antarabangsa dan tempatan.



  • Ia mandat untuk mendakwa pemimpin kanan dan 'mereka yang paling bertanggungjawab' atas jenayah yang dilakukan antara 1975 dengan 1979, yang boleh dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.



  • Tribunal itu dibiaya oleh negara-negara asing, dengan Jepun menjadi penderma terbesar daripada kos pembentukannya sebanyak AS$110 juta ($136 juta) sejauh ini.



  • Ia sudah mengadakan satu perbicaraan sebelum ini dan mempunyai dua lagi perbicaraan terhadap lima suspek Khmer Rouge.Mereka yang dibicarakan kali ini



  • Kes membabitkan 'Abang Nombor Dua', Nuon Chea; mantan ketua negara, Khieu Samphan; mantan menteri luar, Ieng Sary; dan isterinya yang juga mantan menteri ehwal sosial, Ieng Thirith.



  • Mereka menghadapi dakwaan pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan, pembunuhan, penderaan dan pendakwaan agama.



  • Bekas ketua penjara Khmer Rouge, Kaing Guek Eav, yang terkenal dengan gelaran 'Duch', dihukum penjara selama 30 tahun pada Julai tahun lalu kerana menyelia pembunuhan 15,000 orang. Kes itu sedang dirayu dan keputusannya dijangka dibuat dalam beberapa minggu ini.Antara mereka yang terlepas dibicara



  • 'Abang Nombor Satu', Pol Pot, mati pada 1998 pada usia 73 tahun ketika berada dalam tahanan di rumahnya oleh pemberontak Khmer Rouge.



  • Komander tentera, Ta Mok, yang amat ditakuti dan digelar 'Tukang Penyembelih'. Dia ditangkap dan mati ketika menunggu dibicarakan pada usia 80 tahun pada 2008.Sumber: AFP.



  • Cyberita Online Luar Negara

    No comments:

    Post a Comment