Pages

Thursday, June 9, 2011

Bergurau pura-pura lemas jadi kenyataan

PASUKAN Bomba dan Penyelamat mengangkat mayat Mohd Ikram kira-kira jam 11 pagi   semalam. - Foto Rahmat Othman
PASUKAN Bomba dan Penyelamat mengangkat mayat Mohd Ikram kira-kira jam 11 pagi semalam. - Foto Rahmat Othman
Remaja temui ajal ketika mandi di Sungai Kedah

ALOR SETAR: “Arwah sempat bergurau dengan berpura-pura lemas sebelum dia terus hilang daripada pandangan kami,” kata Mohd Nor Arif, 18, rakan kepada Mohd Ikram Hashim, 15, yang lemas ketika mandi-manda di Sungai Kedah berhampiran Tanjung Chali, di sini, petang kelmarin.

Mohd Ikram (kanan), pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tajar, di sini, yang mandi bersama tiga lagi rakannya termasuk Mohd Nor dikatakan mengalami kekejangan kaki sebelum tenggelam ke dasar sungai berkenaan tanpa disedari tiga rakannya.
Sebelum kejadian Allahyarham bersama seorang lagi rakannya sudah naik ke tebing sungai, manakala mangsa masih leka manda bersama seorang lagi rakan mereka sebelum dia tiba-tiba hilang kira-kira jam 6.30 petang.
“Sebelum itu, mangsa sempat bergurau dengan berpura-pura lemas sebelum dia terus hilang daripada pandangan kami. Masa itu, saya dan seorang lagi rakan sudah naik ke tebing manakala seorang lagi berenang bersama arwah.

“Tiba-tiba dia hilang dan usaha mengesannya gagal menyebabkan kami bergegas membuat laporan di balai polis,” kata Mohd Nor ketika ditemui di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 7 malam dan bergegas ke lokasi kejadian.

“Berikutan itu anggota bomba, RELA dan penduduk kampung menjalankan gerakan mencari dan mayat mangsa ditemui jam 10.47 pagi semalam di dasar sungai kira-kira tiga meter daripada tempat mangsa dan rakannya mandi,” katanya.
Di KOTA KINABALU, seorang bayi berusia lapan bulan maut selepas dipercayai terjatuh ke laut menerusi lubang tandas curah di rumahnya di penempatan atas air Kampung Tanjung Aru Baru di sini, semalam.

Alben Abdullah ditemui terapung dalam keadaan hampir lemas kira-kira 25 meter dari rumahnya oleh seorang jiran, Musat Saak, 24, yang secara kebetulan baru pulang dari bekerja kira-kira jam dua petang dan ternampak bayi malang itu tenggelam timbul.

“Sebaik menyedari ia adalah bayi, saya menjerit lalu terjun ke laut dan menarik Alben ke atas rumah sebelum memberi bantuan pernafasan. Melihat dia tidak bertindak balas, saya minta jiran hantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH), tapi disahkan sudah meninggal," katanya di sini, semalam.

Difahamkan, ibu mangsa yang hanya dikenali sebagai Armah, 34, tiada di rumah ketika kejadian kerana bekerja di sebuah kedai makan di sini dan Alben dijaga bapa saudaranya, Rasil Abdul, 27.

Rasil berkata, dia sempat melayan anak saudaranya itu bermain hingga Alben terlelap di sisinya.

“Melihat dia tidur, saya pun melelapkan mata sebentar sebelum terjaga dan mendapati Alben tiada di sisi. Saya panik dan terus berlari keluar sebelum melihat Alben terbaring di jambatan berhampiran rumah untuk dibawa ke hospital,” katanya.

Alben dipercayai terjaga lalu merangkak ke lubang tandas tidak bertutup sebelum terjatuh.
Berita Harian Online | Bergurau pura-pura lemas jadi kenyataan

No comments:

Post a Comment