Pages

Wednesday, June 22, 2011

Bekas Presiden Tunisia dipenjara 35 tahun




Gambar fail bertarikh 11 Oktober 2009 merakamkan Zine El Abidine Ben Ali (kiri) dan Leila semasa menghadiri kempen pilihan raya Presiden Tunisia di Stadium Rades dekat Tunis. - AFP


TUNIS 21 Jun - Mahkamah Tunisia menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun ke atas bekas Presiden Zine el-Abidine Ben Ali dalam satu perbicaraan tanpa kehadirannya semalam, enam bulan selepas dia digulingkan dalam satu revolusi kebangkitan rakyat.
Ben Ali yang kini hidup dalam buangan di Arab Saudi didapati bersalah selepas baru sehari perbicaraan dijalankan berhubung tuduhan mencuri wang rakyat dan memiliki barangan kemas serta sejumlah besar wang tunai secara haram.
Hukuman sama turut dikenakan terhadap isterinya, Leila Trabelsi yang merupakan bekas pendandan rambut yang mengamalkan gaya hidup mewah, selain menjadi simbol rasuah era pemerintahan Ben Ali di kalangan rakyat Tunisia.
Bekas Presiden itu dan isterinya melarikan diri ke Arab Saudi pada 14 Januari lalu selepas berlaku tunjuk perasaan besar-besaran menentang pemerintahannya selama 23 tahun.
Menurut kerajaan Tunisia pada Februari lalu, mereka telah meminta kerajaan Arab Saudi untuk mengekstradisinya.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh peguamnya awal semalam, Ben Ali menafikan semua tuduhan yang dihadapinya itu dan menyatakan dirinya menjadi mangsa komplot politik.
Menurut Ben Ali, dia telah diperdaya untuk meninggalkan negara ini.
Hakim Touhami Hafian yang membacakan keputusan itu di kompleks mahkamah di Tunis turut mengarahkan Ben Ali dan isterinya membayar sejumlah 91 juta dinar (RM199 juta).
Touhami berkata, perbicaraan berhubung tuduhan memiliki dadah dan senjata ke atas Ben Ali akan diadakan pada 30 Jun ini. - REUTERS
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment