Pages

Friday, June 3, 2011

Bakteria baharu E.coli kebal



HONG KONG/MOSCOW – Jangkitan bakteria E.coli yang melanda Jerman dan merebak ke Eropah berpunca daripada jenis E.coli yang baharu, kata sepasukan saintis China selepas mereka menganalisis bakteria berkenaan.
Pasukan saintis berkenaan berkata, wabak tersebut yang membunuh 17 orang dan menyebabkan 1,500 lagi jatuh sakit di sepuluh buah negara Eropah yang pada mula disangkakan berpunca daripada sayuran-sayuran adalah kebal terhadap beberapa jenis antibiotik.
“E.coli ini adalah jenis bakteria baharu yang cepat berjangkit dan amat beracun,” kata pasukan saintis di Institut Genom Beijing di bandar Shenzhen, selatan China yang berkerjasama dengan pasukan saintis Jerman untuk mengenal pasti bakteria tersebut.
Bakteria yang menjadi punca wabak penyakit itu dikenali sebagai E. coli iaitu pengeluar racun Shiga (STEC).
Jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Aphaluck Bhatiasevi berkata, WHO sedang menanti lebih banyak maklumat hasil kajian makmal ke atas bakteria itu.
“E.coli jenis ini belum pernah dilihat dalam situasi wabak seperti ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Sepanyol mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung krisis tersebut.
Sepanyol menuntut gantirugi AS$287 juta (RM863 juta) seminggu kerana kehilangan jualan dan risiko 70,000 orang hilang pekerjaan sejak krisis itu bermula pada minggu lalu.
Sebelum ini, pihak berkuasa perubatan Jerman mendakwa wabak itu berpunca daripada timun organik yang ditanam di Sepanyol tetapi ia kemudian membetulkan maklumat tersebut dengan menyatakan sayur-sayuran yang ditanam di Jerman yang tercemar dengan bakteria berkenaan sebagai punca utama penyakit.
Bakteria E. coli jenis baharu itu boleh membawa maut terutamanya apabila ia menjangkiti darah dan ginjal dan boleh menyebabkan cirit-birit berdarah.
Pakar-pakar kesihatan kini menasihatkan orang ramai yang pergi ke Jerman supaya mengelak memakan buah tomato mentah, timun dan salad.
Pihak WHO juga menyatakan ia sudah dimaklumkan mengenai kes tersebut yang turut berlaku di Austria, Denmark, Perancis, Belanda, Norway, Sweden, Switzerland dan Britain.
“Sesiapa yang pulang dari Jerman dengan mendapat sakit termasuk cirit-birit berdarah sepatutnya mendapat rawatan perubatan dengan segera,” kata Agensi Perlindungan Kesihatan Britain. – Agensi
Kosmo! Online - Dunia

No comments:

Post a Comment