Pages

Monday, June 6, 2011

Askar Israel tembak pembantah

14 maut dalam kejadian di sempadan dengan Syria

MAJDAL SHAMS, Bukit Golan: Tentera Israel melepaskan tembakan ke atas penunjuk perasaan yang menyeberangi garisan gencatan senjata di Bukit Golan yang diduduki Yahudi, membunuh sekurang-kurangnya 14 orang.

Tentera Israel berkata ia melepaskan tembakan selepas memberi amaran kepada penunjuk perasaan itu agar bergerak jauh dari pagar yang menandakan garisan gencatan senjata di sepanjang sempadan Syria dan kawasan diduduki Yahudi di Bukit Golan. Stesen televisyen Syria melaporkan selain daripada 14 yang terkorban, ramai lagi cedera.

“Mereka yang terkorban mati syahid termasuk seorang kanak-kanak,” lapor stesen televisyen itu.
Di sebelah kawasan diduduki Yahudi seorang pegawai tempatan dari pekan Majdal Shams menjerit ke arah tentera Israel meminta mereka berhenti menembak.
Sementara itu, tentera Israel menggunakan pembesar suara memberi amaran bahawa sesiapa yang mendekati pagar garisan ‘bertanggung jawab terhadap darah masing-masing.’

Tentera Israel diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga selepas aktivis di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza dan beberapa negara Arab bersempadan dengan kawasan diduduki Yahudi, menyatakan rancangan untuk membuat bantahan sempena ulang tahun ke 44 perang enam hari dengan Israel yang antara lain menyaksikan Tel Aviv menawan Bukit Golan dari Syria.

Pada 15 Mei lalu, beribu-ribu penunjuk perasaan berhimpun di sempadan Lubnan, Syria, Gaza dengan kawasan diduduki Israel bagi membuat bantahan sempena penubuhan negara Yahudi itu.
Tentera Israel ketika itu menembak mati enam orang penunjuk perasaan di sempadan Lubnan dan empat orang di sempadan Syria.

Di Gaza, penunjuk perasaan berhimpun di pekan utara Beit Hanun, tetapi anggota polis Hamas menghalang mereka mendekati pintu sempadan kawasan diduduki Yahudi di Erez. – AFP
Berita Harian Online | Askar Israel tembak pembantah

No comments:

Post a Comment