Pages

Saturday, June 25, 2011

AS sedia bekal senjata moden kepada Filipina



Clinton (kanan) dan Albert del Rosario semasa menghadiri sidang media bersama di Jabatan Negara AS di Washington, DC, semalam. - AFP


WASHINGTON 24 Jun - Amerika Syarikat (AS) semalam menyatakan kesediaan untuk membekalkan kelengkapan moden tentera kepada Filipina, yang berikrar akan membalas sebarang tindakan agresif China berhubung ketegangan di Laut China Selatan.

Setiausaha Luar Albert del Rosario dalam satu kunjungan ke Washington berkata, Filipina berhasrat untuk menaik taraf kapal perangnya yang telah lama serta memperbaharui hubungan dengan AS di tengah-tengah perselisihan dengan China.

"Kami sangat komited untuk menyokong pertahanan Filipina," kata Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton dalam satu sidang media bersama ketika ditanya berhubung harapan Filipina itu.

Jelas Clinton, kedua-dua negara sedang mengenal pasti aset tambahan yang diperlukan Filipina serta cara untuk membekalkannya.

Katanya, del Rosario akan bertemu Setiausaha Pertahanan, Robert Gates dan pegawai-pegawai lain berhubung perkara itu.

Sementara itu, perang mulut antara Vietnam dan China berhubung perebutan wilayah maritim di Laut China Selatan berterusan hari ini apabila akhbar-akhbar utama Vietnam menyiarkan laporan menyelar negara kuasa besar itu kerana mengeruhkan hubungan antara kedua-dua negara.

Akhbar Thanh Nien melaporkan 'Media China memutarbelit maklumat, mengancam rakyat Vietnam', sementara akhbar Saigon Giai Phong menyiarkan laporan berbunyi 'Akhbar-akhbar China mengubah kebenaran, menakut-nakutkan Vietnam'. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment