Pages

Thursday, June 23, 2011

Arab Saudi mohon maaf

JAKARTA: Arab Saudi semalam memohon maaf mengenai kegagalannya memaklumkan kepada kerajaan Indonesia mengenai pelaksanaan hukuman pancung ke atas seorang pembantu rumah warga Indonesia Sabtu lalu.

Permohonan maaf itu dilakukan ketika pertemuan antara Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa dengan Duta Saudi di Jakarta, Abdurrahman bin Mohammed Al-Khayyat.


“Duta itu memohon maaf dan kesal mengenai kejadian yang berlaku dan berkata, ia tidak akan berulang lagi pada masa depan,” kata jurucakap Kementerian Luar, Michael Tene.

Marty juga menyerahkan kepada Abdurrahman surat bantahan yang ditujukan kepada Menteri Luar Saudi.


Indonesia sebelum ini memanggil pulang dutanya di Riyadh untuk berunding ketika anggota Parlimen mendesak kerajaan bertindak tegas terhadap kerajaan Saudi. Pembantu rumah, Ruyati binti Sapubi, 54, dipancung Sabtu lalu selepas didapati bersalah membunuh isteri majikannya, Khairiya binti Hamid Mijlid dengan pisau pemotong daging.


Amah itu bertindak demikian selepas permohonannya untuk pulang ke Indonesia ditolak, kata pegawai di Jakarta.

Kes Ruyati adalah kejadian terbaru membabitkan pembantu rumah Indonesia di Asia Barat hingga mendorong anggota Parlimen negara itu mendesak kerajaan menghentikan tindakan menghantar rakyatnya bekerja di seberang laut tanpa sebarang perjanjian jaminan hak asasi mereka.


Marty dan anggota kanan Kabinet Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang lain sering berdepan dengan gesaan supaya meletak jawatan berhubung penderaan yang dihadapi tenaga kerja negara itu di seberang laut. - AFP

myMetro | Arab Saudi mohon maaf

No comments:

Post a Comment