Pages

Tuesday, June 7, 2011

3 maut nahas balik cuti


JENAZAH Zaimudin (gambar kecil, kiri) dan Nur Dahyah (kanan) diuruskan untuk dibawa pulang ke Parit Sikom, Pontian, semalam manakala (gambar kecil) tengah, Rokiah Kamiran.
JENAZAH Zaimudin (gambar kecil, kiri) dan Nur Dahyah (kanan) diuruskan untuk dibawa pulang ke Parit Sikom, Pontian, semalam manakala (gambar kecil) tengah, Rokiah Kamiran.

Jalan licin punca kereta dipandu anak hilang kawalan

KOTA TINGGI: Perjalanan pulang sembilan beranak daripada percutian bertukar tragedi, apabila sepasang warga tua bersama cucu berusia 11 bulan terbunuh akibat kemalangan di sini, petang kelmarin.

Kemalangan jam 3 petang di Kilometer 71 Jalan Johor Bahru-Mersing, itu meragut nyawa mangsa Zaimudin Yasir, 67, dan isterinya, Rokiah Kamiran, 58, serta cucu mereka, Nur Dahyah Fauzi, 11 bulan.
Ketika kejadian, pasangan itu menyertai percutian keluarga menantu, Fauzi Ibrahim, 45, dan isterinya, Zubaidah Zaimudin, 36, serta lima cucu mereka terdiri Muhammad Afik, 10; Muhammad Zahin, 9; Hanizah, 6; Muhammad Sakimi, 3, dan Nur Dahyah.
Keluarga terbabit menempuh malang apabila kenderaan Toyota Avanza yang dipandu Fauzi ketika dalam perjalanan pulang ke Parit Sikom, Pontian itu, hilang kawalan dipercayai akibat permukaan jalan yang licin selepas hujan.

Akibat kemalangan itu, Nur Dahyah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan leher, Zaimudin yang cedera di kepala meninggal dunia jam 5 petang, disusuli Rokiah setengah jam kemudian.

Zubaidah dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Muhammad Afik dan adiknya, Hanizah, dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI), sementara Fauzi bersama dua anaknya, Zahin dan Sakimi di Hospital Kota Tinggi (HKT).

Waris mangsa, Zaitun Zaimudin, 43, berkata ibu bapanya tinggal di Parit Sikom, dijemput Fauzi dan adiknya, Zubaidah yang tinggal di Taman Bukit Mewah, Kulai, untuk bercuti di Mersing sempena cuti sekolah.
“Ketika kemalangan, mereka dalam perjalanan pulang selepas berkunjung ke Mersing,” katanya.

Ketua Polis Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot, berkata ketiga-tiga mangsa meninggal dunia akibat pelbagai kecederaan dialami.
“Setakat ini, siasatan masih dijalankan tetapi pemandunya belum membuat laporan kerana masih dirawat di HKT,” katanya.

Jenazah Zaimudin dan Rokiah serta cucu mereka, Nur Dahyah, dihantar pulang ke Parit Sikom, selepas selesai urusan bedah siasat jam 1.30 pagi semalam. Berita Harian Online | 3 maut nahas balik cuti

No comments:

Post a Comment