Pages

Tuesday, June 7, 2011

3 drone AS bedil Waziristan, 18 suspek militan terbunuh

WANA, Pakistan 6 Jun - Sekurang-kurangnya 18 suspek militan terbunuh apabila Amerika Syarikat (AS) hari ini melancarkan tiga serangan peluru berpandu dengan pesawat tanpa juruterbang atau 'drone' di wilayah Waziristan Selatan di Pakistan, berhampiran sempadan Afghanistan.
Serangan hari ini, yang terbesar sejak Mac lalu, dipercayai menandakan AS sudah mengenal pasti suspek al-Qaeda atau Taliban 'bernilai tinggi' di Waziristan Selatan atau melihat kemunculan ancaman lebih besar dari wilayah itu.
Serangan peluru berpandu dengan drone selalunya tertumpu di Waziristan Utara.
Pelancaran peluru berpandu di kawasan sempadan diperhebatkan sejak pegawai Pakistan berkata, komander kanan al-Qaeda, Ilyas Kashmiri terbunuh dalam serangan drone di Waziristan Selatan lewat Jumaat lalu.
"Peluru-peluru berpandu mengenai pekarangan kem militan di kawasan pergunungan dekat Wana," kata seorang pegawai perisikan tempatan, merujuk kepada pekan utama di wilayah Waziristan Selatan yang didiami penduduk etnik Pashtun.
Dua serangan drone dalam satu operasi mengenai pekarangan itu dan sebuah madrasah berdekatan, menyebabkan 18 orang maut termasuk tujuh warga asing.
Sesetengahnya terbunuh semasa cuba mengambil mayat rakan-rakan yang maut dalam serangan pertama.
Dalam serangan drone berasingan di sempadan di antara Waziristan Utara dan Selatan, satu peluru berpandu mengenai sebuah kenderaan, membunuh tiga anggota militan di sebuah kampung kira-kira 50 kilometer dari lokasi serangan pertama.
Tentera Pakistan melancarkan serangan besar-besaran di Waziristan Selatan pada 2009 ke atas gerila Taliban tempatan, memaksa ramai antara mereka melarikan diri ke Waziristan Utara.
Serangan drone itu ditentang oleh majoriti rakyat Pakistan mereka kerana kerap membunuh penduduk awam dan dilihat sebagai mencabuli kedaulatan negara ini. - Reuters
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment