Pages

Sunday, June 19, 2011

19 penunjuk perasaan maut di Syria

BEIRUT 18 Jun - Tentera Syria menembak mati 19 penunjuk perasaan ketika protes terbesar menuntut pengunduran Presiden Bashar al-Assad diadakan semalam.
Berpuluh-puluh ribu orang berhimpun di wilayah Deraa, wilayah Deir al-Zor, bandar Hama dan di ibu negara Damsyik bagi menentang tindakan keras tentera Assad.
"Protes kali ini adalah yang terbesar, tetapi penunjuk perasaan masih belum menawan dataran di bandar utama seperti yang berlaku di Mesir.
"Namun kami kini semakin hampir untuk melakukannya," kata tokoh pembangkang, Walid al-Bunni kepada Reuters melalui panggilan telefon dari Damsyik.
Menurutnya, kawalan keselamatan kini semakin longgar kerana jumlah penunjuk perasaan semakin meningkat, selain lebih ramai lagi yang sanggup membahayakan nyawa untuk menyertai protes.
"Rakyat Syria kini sedar bahawa ini adalah peluang mendapatkan kebebasan yang hanya datang sekali dalam beratus-ratus tahun," ujarnya.
Insiden pertumpahan darah terburuk berlaku di bandar Homs di mana 10 penunjuk perasaan dibunuh, menurut Jawatankuasa Koordinasi Tempatan.
Seorang lagi penunjuk perasaan turut dilaporkan terbunuh di bandar Aleppo, manakala kumpulan Pemantau bagi Hak Asasi Manusia Syria memberitahu mereka hanya dapat mengesahkan 10 kematian di seluruh negara ini semalam. - REUTERS
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment