Pages

Sunday, May 15, 2011

Wilders cucuk Barat anti-Islam


Pemimpin berhaluan kanan Belanda mahu Kanada sekat imigran Muslim


TORONTO: Pembuat dasar haluan kanan Belanda, Geert Wilders dalam mesej anti-Islamnya kepada Kanada, menggesa pendatang Islam dilarang memasuki negara Barat serta memberi amaran bahawa Islam memberi ancaman kepada kebebasan masyarakat.

“Apa yang berlaku di Eropah juga akan berlaku di sini,” kata Wilders kepada rangkaian berita tempatan di Kanada, baru-baru ini.
“Kita perlu bangkit dengan hakikat bahawa Islamisasi membawa kepada kurangnya kebebasan kepada kami dan anak-anak kami.”
Wilders, pemimpin Parti Kebebasan haluan kanan (PVV), dijangka berucap kepada kumpulan Kristian tempatan dalam apa yang digambarkannya sebagai ancaman diberi oleh Islam kepada tamadun Barat.

Katanya beliau terpanggil untuk memberi amaran kepada rakyat Kanada mengenai ancaman yang ditimbulkan Islam kepada kebebasan Barat.

“Tentera Kanada tidak memberi nyawa mereka untuk membebaskan Eropah, supaya 50,60,70 tahun kemudian kita tidak akan berdepan satu lagi ancaman Islam.”

Wilders terkenal lantang dengan rungutan kerasnya ke atas Islam dan umat Islam. Beliau juga menggesa larangan ke atas al-Quran, menyifatkan kitab itu sebagai ‘fasis.’
Pada 2008, Wilders mengeluarkan satu dokumentari 15 minit menuduh al-Quran menghasut keganasan.

Sebelum pilihan raya umum tahun lalu, parti antipendatang Wilders berkempen untuk ‘menyekat perkembangan Islam di Belanda’ termasuk membina masjid baru.
Wilders bukan bersendirian dalam usaha menuduh orang Islam sebagai tidak boleh dipercayai, terbabit dalam keganasan dan cuba ‘menjajah’ negara Barat menerusi penghijrahan.

Paderi Terry Jones di Florida terlebih dulu mengatasi Wilders apabila membakar al-Quran baru-baru ini.

Apapun, kempen anti-Islam parti Wilders tidak dinafikan membantunya mendapat pencapaian terbesar sejak mengasaskan PVV pada 2006.

Mengulangi tuduhannya ke atas Islam, pemimpin Belanda itu menuduh Islam melemahkan masyarakat Barat.

“Majoriti penduduk Islam mematuhi undang-undang, mereka mahukan kehidupan baik untuk keluarga mereka. Ada penduduk Islam yang sederhana namun tiada lagi Islam yang sederhana,” katanya.

“Lebih kuat sesuatu penduduk itu, lebih sukar untuk memerangi ideologinya,” kata Wilders menggesa pengharaman pendatang Islam ke negara Barat.

“Bagi mereka yang sudah ada di Kanada, jaga tingkah laku, sesuaikan diri atau kami akan hantar anda pulang. Bagi mereka yang tidak mahu menjadikan masalah semakin buruk, hentikan kedatangan penduduk dari negara bukan Barat dan hentikan proses Islamisasi dan pembinaan masjid baru. Ini adalah perkara yang kita perlu lakukan.”

Jemputan Wilders untuk berucap di Kanada menarik kecaman kumpulan antiperkauman di negara itu.

“Sebagai sekutu penduduk Islam, pelbagai kaum atau anti-perkauman, kami menyedari jemputan ini dilanjutkan kepada Wilders oleh Kolej Kristian Kanada dan Persatuan Kebebasan Media Kanada,” menurut kenyataan kumpulan Tindakan Anti Perkauman dan Kumpulan Kerja First Nations Solidarity kepada media.

Kumpulan itu juga memberi amaran bahawa ucapan Wilders akan membahayakan perpaduan sosial di negara itu.

“Amat jelas dengan semua histeria berhubung kebebasan bersuara, acara itu dianjurkan untuk menghalang sebarang tentangan suara atau bantahan.”

Penduduk Islam berjumlah kira-kira 1.9 peratus daripada 32.8 juta penduduk Kanada. Islam adalahajaran nombor satu bukan Kristian dalam negara beragama Roman Katolik itu. Satu tinjauan menunjukkan majoriti besar umat Islam berbangga menjadi seorang warga Kanada. - Agensi
Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment