Pages

Monday, May 2, 2011

Seif al-Arab kurang dikenali di kalangan keluarga


pix_gal0


TRIPOLI: Anak bongsu pemimpin Libya Muammar Gaddafi, Seif al-Arab, 29, yang terbunuh dalam serangan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) semalam dianggap sebagai seorang yang paling kurang dikenali di kalangan anggota keluarga pemimpin itu.

Seif yang masih bujang, dilahirkan pada 1982 adalah seorang pelajar ijazah lanjutan dalam bidang ekonomi di Universiti Teknikal Munich, di Jerman dan menghabiskan kebanyakan tempoh kehidupan dewasanya yang penuh kemewahan di negara itu sebelum kembali ke Libya.
Stesen televisyen al-Jazeera pernah melaporkan, selain belajar, Seif al-Arab mengendalikan beberapa kegiatan perniagaan yang tidak diketahui dan suka menghabiskan masa berfoya-foya di kelab malam.
Pada akhir 2006, ketika masih menjadi pelajar di Universiti Teknikal Munich, Seif terbabit dalam pergaduhan dengan seorang pengawal kelab malam, selepas teman wanitanya diusir keluar kerana berkelakuan tidak senonoh ketika menari.

Seif dikatakan mengugut untuk mencurah asid ke muka pengawal itu sehingga mencetuskan pergaduhan antara kedua-dua mereka. Kes ini juga dikatakan menyebabkan hubungan Libya dan Jerman menjadi renggang.

Pada 2008, polis menyoal siasat Seif selepas kereta Ferrari F430 miliknya mengeluarkan bunyi bising sehingga mengganggu penduduk sekitar.
Pihak polis kemudian menyita kereta terbabit.
Pada tahun yang sama, Seif disyaki cuba menyeludup raifal, pistol dan peluru dari Munich ke Paris dengan sebuah kereta yang menggunakan plat pendaftaran diplomatik.

Bagaimanapun kes itu digugurkan selepas senjata yang menjadi barang bukti tidak ditemui, manakala pendakwa Jerman memutuskan tiada bukti mencukupi untuk meneruskan pendakwaan.

Pada 26 Februari lalu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menguatkuasakan larangan perjalanan ke atas Seif di bawah Resolusi 1970, tetapi tidak membekukan aset beliau seperti yang dikenakan terhadap anggota keluarga Gaddafi yang lain.

Ketika rusuhan dan pemberontakan berlaku di Libya, Seif dihantar bapanya ke bahagian timur negara itu untuk menghapuskan pemberontak bersama pasukan tempur dan kelengkapan tentera.

Semalam, jurucakap kerajaan Libya Musa Ibrahim mengumumkan bahawa Seif terbunuh di rumahnya bersama tiga orang cucu Gaddafi dalam serangan Nato di kediamannya. – Agensi , bharian

No comments:

Post a Comment