Pages

Monday, May 16, 2011

Perceraian RM400 juta



Minggu lalu juga menyaksikan terlerainya perkahwinan selama 19 tahun antara anak Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib Abdul Taib dengan Datin Seri Shahnaz A. Majid. Seakan kebetulan, Shahnaz juga mempunyai seorang adik yang melibatkan diri dalam industri seni, iaitu ratu jazz, Datuk Sheila Majid.
Perceraian itu juga pada awalnya mendapat perhatian, ekoran dakwaan-dakwaan yang dinyatakan oleh Shahnaz, 48, apabila beliau memfailkan permohonan untuk bercerai secara fasakh.
Antaranya, Shahnaz mendakwa dirinya telah dikasari secara fizikal dan tidak menerima nafkah batin sejak 11 tahun lalu selain mendakwa suaminya gemar bersosial dan tidak berlaku adil selepas berkahwin dengan seorang wanita Rusia.
Bagaimanapun, sebelum kes fasakh sempat didengar, mahkamah dimaklumkan bahawa Mahmud Abu Bekir ada memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik di mahkamah sama.
Atas persetujuan bersama, Mahmud Abu Bekir, 48, melafazkan cerai dengan talak satu terhadap Shahnaz pada Rabu di hadapan Ketua Hakim Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Muhamad Abdullah.
Apa yang lebih menarik ialah nilai yang terbabit dalam perceraian itu - RM400 juta - satu nilai yang amat jarang sekali didengar bukan sahaja dalam tahun ini, tetapi dalam dekad ini.
Shahnaz memfailkan permohonan untuk menuntut mutaah bernilai RM100 juta dan RM300 juta sebagai harta sepencarian - nilai yang dianggap berpatutan dengan status dan pendapatan Mahmud Abu Bekir.
RM100 juta itu didakwa sebagai satu jumlah yang munasabah dengan tempoh perkahwinan dan jumlah yang adil bagi beliau untuk memulakan kehidupan baru sesuai dengan status dan taraf yang pernah dilaluinya.
RM300 juta pula dituntut agar diisytiharkan sebagai harta sepencarian yang meliputi harta-harta termasuk rumah di mereta-rata tempat, tanah beratus-ratus hektar di Sarawak dan tanah di Bukit Tunku, di sini.
Selain itu, mereka juga didakwa mempunyai kereta Mercedez Benz, Lamborghini Murcielago, Ferrari Spider, Bentley New Continental GT, Maserati Quartoporte, Audi, dan Alphard serta simpanan-simpanan bank.
Harta tersebut juga melibatkan syarikat-syarikat dan saham-saham seperti Titanium Management Sdn Bhd, Sarawak Cable Berhad, Cahaya Mata Sarawak Berhad, Premium Haven, Log Dak Promotions, Dataran Aras, Celebrity Design dan Bella Magic.
Kes tersebut akan disebut pada 27 Jun depan untuk melihat sekiranya pasangan itu dapat mencapai persetujuan dalam permohonan tersebut atau jika tidak, kes itu akan dibicarakan.
Isu perceraian bukanlah satu isu yang besar pada masa kini. Setiap hari ada sahaja pasangan yang bercerai di setiap Mahkamah Rendah Syariah di sekitar negara.
Bagaimanapun, status mereka ini selaku orang kebanyakkan menyebabkan perihal yang menyedihkan itu hanya dikongsi oleh keluarga dan teman rapat sahaja.
Sudah pastilah, tiada siapa yang berminat untuk membaca jika akhbar menyiarkan 'Joyah sah bercerai dengan Ahmad' kerana nasib Joyah tiada bezanya dengan wanita-wanita yang sama menunggu kes mereka dipanggil di mahkamah.
-mstar

No comments:

Post a Comment