Pages

Friday, May 6, 2011

Lelaki disebalik pesanan video


LELAKI berjanggut panjang dan penuh karisma yang selama beberapa dekad menjadi igauan ngeri Amerika Syarikat (AS) menemui ajal dalam satu serbuan askar AS di Pakistan, Ahad lalu.
Lelaki yang menggemparkan dunia kerana didakwa mendalangi serangan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September 2001 itu dibunuh di sebuah rumah agam di bandar Abbotabad, berdekatan Islamabad.
Bagaimanapun, kematian pemimpin tertinggi rangkaian Al-Qaeda, Osama bin Laden, 54, itu telah menimbulkan pelbagai spekulasi di dada akhbar antarabangsa termasuk bakal pengganti lelaki misteri itu yang bijak menggagalkan pelbagai percubaan untuk membunuh atau menangkapnya.
Pakar bedah mata kelahiran Maadi, Mesir, Ayman Muhammad Rabaie al-Zawahiri, 59, yang merupakan tulang belakang Osama selama ini, disebut-sebut bakal menjadi ketua Al-Qaeda yang baru.
Dilahirkan pada tahun 1951 dalam sebuah keluarga atasan yang mempunyai cendekiawan dan doktor, Zawahiri bertemu Osama pada pertengahan tahun 1980-an di Peshawar, Pakistan ketika menyokong perjuangan mujahidin menentang pencerobohan Soviet Union di Afghanistan.
"Zawahiri adalah otak bagi tubuh Osama," kata seorang peguam Mesir, Montasser al-Zayat yang pernah mewakili Zawahiri.
Graduan Universiti Kaherah itu digambarkan sebagai ketua pergerakan Al-Qaeda dan penasihat terdekat Osama.
Tidak seperti Osama yang lebih bersikap sederhana, Zawahiri merupakan wajah Al-Qaeda dan sering mengecam AS dan sekutunya melalui pesanan-pesanan video.
"Zawahiri sentiasa menjadi mentor dan selalu dipandang tinggi oleh Osama," kata pakar keganasan di Universiti Georgetown, Profesor Bruce Hoffman.
"Dia pernah menjadi tawanan dan diseksa di penjara orang Mesir. Semasa remaja, dia merupakan seorang pejuang jihad malah telah berjuang sepanjang hayatnya. Pengalaman tersebut telah membentuk pandangannya terhadap dunia," tambah Hoffman lagi.
Zawahiri menyertai ahli kumpulan Jihad Mesir yang diasaskan pada tahun 1973. Dia merupakan salah seorang daripada 301 orang yang ditahan berikutan pembunuhan Presiden Mesir, Anwar Sadat pada tahun 1981.
Lelaki bersosok sederhana, berjambang dan berkaca mata itu telah menjalani perbicaraan dan dibebaskan daripada tuduhan membunuh.
Pada tahun 1993, Zawahiri memegang tampuk kepimpinan kumpulan Jihad Mesir dan merupakan figura utama dalam kempen pembentukan negara Islam di negara berkenaan pada pertengahan tahun 1990-an.


KEDIAMAN Osama di Abbotabad yang musnah selepas diserang tentera AS.



"Osama mewakili sebuah pergerakan, segala pertuturan dan kemunculannya mempunyai aura serta karisma, Zawahiri tidak boleh menandingi kewibawaannya," kata penyelaras untuk pasukan pemantauan Al-Qaeda-Taliban, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Richard Barrett.
Penasihat Pencegah Keganasan Presiden Barrack Obama, John Brennan pula memberitahu, Zawahiri mempunyai banyak pengkritik dalam organisasi itu.
"Saya rasa anda akan melihat kejadian makan diri sendiri dalam pertubuhan itu semakin bertambah," ujarnya.
Selain Zawahiri, nama-nama lain yang dijangka mampu memimpin rangkaian Al-Qaeda termasuk Anwar al-Awlaki, Abu Yahya al-Libi, Ilyas Kashmiri, Nasir al-Wuhayshi dan beberapa lagi.
Rakan kepada Zawahiri iaitu Aboud Al-Zumur memberitahu AFP, kematian Osama tidak akan menjejaskan organisasi itu.
Al-Qaeda berjanji akan membalas serangan. Zumur yang pernah dipenjarakan bersama Zawahiri kerana disyaki terlibat dalam pembunuhan Anwar Sadat pada tahun 1981 menegaskan kematian Osama adalah syahid.
Dia merupakan antara ahli kumpulan Jihad Mesir yang dibebaskan dari penjara selepas Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan baru-baru ini.
"Al-Qaeda bukanlah individu tetapi satu institusi. Pembunuhan Osama tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah," katanya.
Dia turut menasihati pengikut Osama agar tidak membalas dendam dan bersabar. Sekiranya mereka (penyokong) membuat serangan di kedutaan atau sebagainya, ia hanya membunuh orang yang tidak berdosa.
Zumur menyifatkan Zawahiri, seorang yang dikenali sebagai perancang dalam Al- Qaeda dalam siri serangan ke atas AS, sebagai seorang yang 'berhati mulia'.
Imej AS


PENDUDUK di Abbotabad menjalani kehidupan seperti biasa beberapa hari selepas Osama ditembak mati di kediamannya di bandar itu.



Dalam pada itu, penulis kolum Arab Saudi, Dawood al-Sherian memberitahu, operasi itu menjadi simbol kesungguhan dan memberi kesan positif kepada imej AS.
"Bagaimanapun, penghujung riwayat Osama telah menimbulkan keraguan mengenai masa dan butir-butir kematiannya sekali gus mungkin memberi tamparan kepada imej AS dalam dunia Arab serta Muslim," dia menulis dalam harian Al-Hayat yang berpangkalan di London.
Bagi Sherian, menangkap Osama adalah lebih baik berbanding membunuhnya kerana ia mungkin akan melemahkan Al-Qaeda apabila pemimpin mereka berdepan keadilan seperti bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein.
Pengarang akhbar bebas Jordan, Al-Arab Al-Yawm, Fahd Kheitan pula menulis: "Serbuan AS merupakan kemenangan pilihan raya bagi Presiden Barack Obama. Ia hanya mendatangkan kesan kecil kepada Al-Qaeda.
"Al-Qaeda telah kehilangan pemimpin tertinggi mereka tetapi pengikutnya akan cuba membalas dendam ke atas pembunuhan tersebut sekali gus sekutu antikeganasan perlu bersedia menghadapi dendam."
Sementara itu, pakar cegah keganasan berkata, kematian Osama akan memberi tamparan kepada rangkaian pengganas yang diasaskan dan dibangunkannya itu, walaupun peranan Osama lebih bersifat simbolik berbanding operasi sejak kebelakangan ini.
"Melumpuhkan pergerakan tidak akan menghakis gabungan Al-Qaeda dan orang perseorangan yang tetap memberi ancaman," kata John McLaughlin yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah Interim, Agensi Perisikan Pusat (CIA) AS.
"Bagaimanapun, kuasa pusat inspirasi Al-Qaeda akan berkurangan," katanya.
Bagi Paul Pillar yang merupakan bekas pegawai perisik di Asia Barat dan Asia Selatan dari tahun 2000 hingga 2004, Al-Qaeda sebenarnya telah berkembang dan kematian Osama tidak banyak mengubah serangan yang telah dirancang.
"Dari segi kawalan operasi dan arahan, perubahan telah dilakukan.
"Peranan Osama lebih sebagai simbol dan sumber ideologi berbanding orang yang memulakan operasi. Peranan tersebut akan berterusan sama ada dia mati atau masih hidup," katanya.
Katanya, kematian Osama akan memberi makna lebih penting kepada bagaimana AS dan Barat akan bertindak ke atas keganasan, bukan bagaimana pengganas akan menjalankan rangkaian mereka.

No comments:

Post a Comment