Pages

Saturday, May 14, 2011

Lakaran gambar suspek dalam Facebook IPKKL



MUHAMAD Hanif yang melecur disimbah asid dirawat Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
MUHAMAD Hanif yang melecur disimbah asid dirawat Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

KANGAR: Seorang pemandu lori bertarung maut hampir setengah jam apabila terpaksa merangkak dalam kegelapan malam untuk mendapatkan bantuan selepas disimbah asid oleh lelaki tidak dikenali hingga menyebabkan muka dan badannya melecur, awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa, Muhamad Hanif Sunaid @ Shuib, 24, terpaksa merangkak dari rumahnya di Kampung Sentang, Utan Aji, Kangar ke jalan raya sejauh hampir 20 meter dalam gelap sambil meraung kesakitan.
Sepanjang detik mencemaskan itu, mangsa menggelupur kesakitan apabila hampir keseluruhan mukanya dan 50 peratus badan melecur akibat disimbah asid.
Ibu saudara mangsa, Norhanim Hamzah, 47, ketika kejadian, Muhamad Hanif yang memandu lori pasir sejak tujuh bulan lalu, baru pulang ke rumah sebelum didatangi beberapa lelaki tidak dikenali yang memberi salam dan mengetuk pintu rumah.

Norhanim berkata, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa terus membuka pintu sebelum suspek menyimbah asid ke arahnya.

“Hanif yang meraung kesakitan merangkak dalam gelap menuju jalan raya untuk mendapatkan bantuan orang ramai.

“Malangnya, tidak ada siapa yang lalu menyebabkan Muhamad Hanif terpaksa menahan sengsara bersendirian selama hampir setengah jam sebelum seorang pemandu memberhentikan kenderaan sebaik menyedari ada orang terbaring di tepi jalan,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, semalam.
Lelaki itu kemudian menghantar mangsa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, untuk mendapatkan rawatan dan kemudian dipindahkan ke HSB berikutan kecederaan serius yang dialaminya.

Norhanim berkata, Muhamad Hanif yang masih bujang dan tinggal bersendirian memberitahunya, ketika kejadian, beliau hanya memakai tuala kerana baru selesai mandi selepas pulang lewat akibat lori rosak.

“Saya bimbang anak saudara saya itu mungkin hilang penglihatan akibat kejadian itu,” katanya.

Abang mangsa, Saiful Bahar, 30, berkata, adik bongsu daripada lima beradik itu tidak pernah menimbulkan masalah atau bermusuh dengan sesiapa.

“Saya terkejut menerima panggilan kira-kira jam 1.30 pagi tadi (semalam) mengenai kejadian itu. Muhamad Hanif tinggal seorang diri di rumah itu sejak kematian arwah ibu kami sejak dua tahun lalu.

“Bapa kami sudah berkahwin lain dan menetap bersama isterinya di Chuping,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu mungkin bermotifkan balas dendam kerana mangsa pernah menjalin hubungan cinta dengan seorang gadis berusia 29 tahun tetapi hubungan itu terputus. -bharian

No comments:

Post a Comment