Pages

Thursday, May 19, 2011

Kawan rosakkan kereta Lamborghini RM1.1 juta



KERETA Lamborghini Murcielago yang remuk teruk dalam kemalangan di Sydney pada Ahad lalu.


SYDNEY - Seorang remaja berusia 22 tahun dilaporkan memandu sebuah kereta sport Lamborghini Murcielago bernilai AS$363,657 (RM1.1 juta) milik kawannya yang melanggar sebuah teksi, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia memandu kereta itu pada pagi Ahad lalu sebelum hilang kawalan di sebatang jalan raya di Sydney, Australia. Lebih malang lagi, kereta tersebut kemudian bertembung dengan sebuah teksi yang mengakibatkan kedua-dua buah kereta mengalami kerosakan teruk.

Pemandu teksi itu merupakan wanita berusia 51 tahun dan dia terperangkap di dalam kenderaan lebih sejam sebelum diselamatkan dengan sebelah kakinya patah.

Pemilik kereta Lamborghini Murcielago yang berusia 30 tahun itu mungkin berdepan masalah untuk menuntut kerugian daripada syarikat insurans kerana kereta tersebut tidak diinsuranskan kepada pemandu berusia bawah 25 tahun.

Dia memberi pinjam kepada rakannya itu namun keretanya kini sukar untuk dikenali pasti kerana remuk teruk.

"Saya menganggap pemandu kereta itu berada (dirawat) dalam ambulans kedua. Sukar dipercayai dia masih boleh berjalan tanpa sebarang kecederaan," kata seorang saksi, Daisy Buckle.

Seorang lagi penumpang kereta sport itu yang berusia 26 tahun mengalami cedera ringan di bahagian dada.

Kereta sport Lamborghini Murcielago didedahkan kepada umum pada tahun 2002.

Pembuat kereta dari Itali itu menggunakan enjin bersesaran 6.2 liter V12.

Pihak polis sedang menyiasat kemalangan itu dan akan mendakwa pemandu tersebut kerana memandu secara berbahaya.

Seorang jurucakap polis mengesahkan bahawa pemandu itu tidak berada di bawah pengaruh alkohol. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

No comments:

Post a Comment