Pages

Sunday, May 15, 2011

Hargai pengorbanan


BAHAGIA... Salih bersama ketiga-tiga isteri dan sebahagian anaknya.
BAHAGIA... Salih bersama ketiga-tiga isteri dan sebahagian anaknya.

KUALA LUMPUR: Sebuah rumah untuk setiap isteri. Itu pemberian eksklusif penyanyi, pelawak, pelakon, pengacara dan penyampai Sinar FM, Salih Yaacob, 50, kepada semua isterinya termasuk bakal isteri keempat, Emi, 24.
Beliau yang dijangka melengkapkan kuota poligami dengan penuntut ijazah sarjana di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) itu selepas Aidilfitri ini berkata, rumah berkenaan sebagai hantaran kepada Emi dan hadiah kepada tiga isterinya yang terdahulu.
Menurutnya, pemberian itu bakal menjadi hadiah terhadap segala pengorbanan semua isterinya selama ini.

“Ketiga-tiga isteri saya menerima pelbagai ujian dan dugaan akibat berpoligami. Walaupun sering dipandang negatif, ia tidak mematahkan semangat mereka. Kerana itu, saya ingin menghargai kekuatan mereka yang menyokong saya selama ini.


“Bukan mudah untuk berpoligami. Setiap hari, ada saja dugaan dan ujian yang perlu dihadapi ketiga-tiga isteri saya. Malah, masyarakat kita rata-ratanya sering memandang isu poligami ini sebagai sesuatu yang negatif.

“Pada masa sama, mereka (isteri) yang menjadi orang kuat di belakang saya sentiasa diuji dengan pelbagai dugaan. Namun, sifat rendah diri dan tabah yang diterapkan dalam diri masing-masing menjadikan mereka kuat, dan itu adalah kekuatan bagi saya,” katanya dalam temubual bersama wartawan Metro Ahad di sini.

Menurut Salih, dia bercadang membeli rumah baru berkenaan dalam satu kawasan di sekitar Lembah Klang bagi menempatkan setiap isteri dan anaknya.

Buat masa ini, ketiga-tiga isterinya menetap di Kampung Pandan.

“Rumah mereka (ketiga-tiga isteri) masing-masing di sini. Bagaimanapun, tidak ada lagi rumah kosong untuk menempatkan bakal isteri keempat.

“Jadi saya perlu mencari satu kawasan perumahan baru yang lebih luas dan selesa untuk mereka. Saya lebih suka mereka tinggal berdekatan. Dengan cara ini, saya ada banyak masa untuk menjaga dan bersama mereka,” katanya.

Sambil berbual, Salih membawa wartawan melihat ketiga-tiga apartmen milik isterinya yang terletak berhampiran di antara satu sama lain.

Apartmen didiami isteri pertama dan kedua dibeli hasil titik peluhnya berkecimpung dalam dunia seni kira-kira tiga dekad lalu, manakala kediaman isteri ketiga disewa.

Tinjauan Metro Ahad mendapati rumah isteri pertama dan kedua diubah suai dengan corak hampir sama seperti hiasan dalaman dan perabot. Begitupun, kediaman isteri ketiga tidak sempat ditinjau kerana kesuntukan masa berikutan Salih ada urusan lain.

Menurut Salih, dia memastikan layanan kepada setiap isteri dan keluarganya sama adil dan saksama supaya mereka mampu hidup aman dan selesa hasil pendapatannya.

“Alhamdulillah, tidak ada satu pun yang kurang. Jika seorang mendapat kereta, yang lain juga dapat. Ini yang cuba saya terapkan terhadap keempat-empat isteri nanti. Syukur kepada Allah, kami hidup selesa hasil rezeki pemberian-Nya.

“Apa yang saya miliki kini menjadi kejayaan bagi setiap isteri dan anak. Jika mahu diikutkan, kejayaan saya adalah kejayaan untuk mereka.

“Saya percaya, ini semua rezeki anak dan isteri. Rezeki saya hanya untuk membeli sekotak rokok. Mungkin jika tidak berpoligami, rezeki saya tidak seperti ini,” katanya berseloroh.

Pelawak popular itu kembali mencuri tumpuan masyarakat seluruh negara selepas akhbar ini secara eksklusif menyiarkan gambar bakal isteri keempat Salih yang berwajah ala Arab pada ruangan muka depan Khamis lalu.

Bagaimanapun, Salih ketika ditanya tarikh sebenar perkahwinannya bersama gadis kelahiran Johor itu masih berahsia dan menjelaskan, semuanya terserah pada takdir dan kuasa Allah.

“Saya serahkan semuanya kepada Allah kerana saya cuma mampu merancang. Insya-Allah, jika tiada halangan, saya akan melangsungkan perkahwinan selewat-lewatnya hujung tahun ini,” katanya.-metro

No comments:

Post a Comment