Pages

Thursday, May 26, 2011

Gunung berapi berhenti meletus


PEKERJA penyelamat memindahkan  biri-biri dari Kampung Kirkjubaejarklaustur, dekat gunung berapi Grimstovn, semalam.
PEKERJA penyelamat memindahkan biri-biri dari Kampung Kirkjubaejarklaustur, dekat gunung berapi Grimstovn, semalam.

Jerman tutup dua lapangan terbang akibat debu

BERLIN: Kepulan awan debu akibat letusan gunung berapi Grimsvotn di Iceland, merebak ke utara Jerman semalam menyebabkan beberapa lapangan terbang dari Hamburg ke Berlin terpaksa ditutup ketika laporan terbaru menyatakan gunung itu mula berhenti meletus.
Awan debu akibat letusan gunung berapi ini yang kedua dari Iceland, kurang setahun selepas letusan gunung berapi Eyjafjallajökull menjejaskan laluan udara Eropah. Pengawal lalu lintas udara berkata, kira-kira 700 penerbangan dibatalkan di seluruh Jerman semalam.
Bagaimanapun, pakar geologi di Iceland berkata aktiviti gunung berapi itu dilihat sudah berakhir sekurang-kurangnya untuk sementara waktu, manakala kepulan debu juga semakin berkurangan.

“Tiada lagi aktiviti gunung berapi Grimsvotn, sejak jam 2 pagi waktu tempatan. Bagaimanapun, terlalu awal untuk menyatakan ia sudah berakhir sepenuhnya,” kata penyelidik di pejabat Meteorologi Iceland, Sigthrudur Armannsdottir.

Gangguan lalu lintas udara di Jerman tidak menjejaskan Frankfurt dan Munich semalam tetapi penerbangan terbesar negara itu Lufthansa menjangka sekurang-kurangnya 150 penerbangan dari bandaraya itu akan dibatalkan.

Di bandaraya kedua terbesar Jerman, Hamburg, tiada pesawat dibenarkan mendarat atau berlepas pada jam 6 pagi, tetapi operasi dijangka pulih semula menjelang tengah hari.
Di Bremen, lalu lintas udara dihentikan sejak jam 5 pagi dan semua penerbangan dibatalkan hingga kira-kira jam 4 petang. Dua lagi lapangan terbang di Berlin, Tegel dan Schoenefeld ditutup pada jam 11 pagi berikutan kebimbangan awan debu mungkin menyebabkan kerosakan enjin. Bagaimanapun pegawai berkata operasi pulih kira-kira jam 2 petang.

Grimsvotn, gunung berapi paling aktif di Iceland mula meletus Sabtu lalu dan memuntahkan awan debu sehingga setinggi kira-kira 20 kilometer ke udara, paling aktif dalam tempoh kira-kira satu abad.

Kira-kira setahun lalu, letusan gunung berapi Eyjafjallajökull, menyebabkan
lebih 100,000 penerbangan terpaksa dibatalkan, menjejaskan lebih lapan juta penumpang dan yang paling dahsyat sejak Perang Dunia Kedua. – AFP Berita Harian Online | Gunung berapi berhenti meletus

No comments:

Post a Comment