Pages

Tuesday, May 17, 2011

'Gaddafi beri arahan serang orang awam'


pix_gal0
Pendakwa ada bukti kukuh mohon waran tangkap ke atas pemimpin Libya, anak, adik ipar

HAGUE: Ketua Pendakwa Mahkamah Jenayah Perang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini, semalam mengemukakan permohonan waran tangkap ke atas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi atas tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan.
Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa, Luis Moreno-Ocampo, berkata waran tangkap juga dipohon terhadap anak lelaki Gaddafi, Saif al-Islam; Ketua Perisikan Libya, Abdullah al-Senussi yang juga adik ipar Gaddafi dan beberapa pegawai lain.
Pendakwa dari Argentina itu berkata, pihaknya mempunyai bukti Gaddafi secara langsung mengarahkan serangan ke atas orang awam Libya.

Beliau berkata, pihaknya sudah bersiap-sedia untuk mengendalikan perbicaraan dan mengumpul bukti kukuh untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab.

“Pejabat kami mendapat bukti langsung bahawa Gaddafi memberi bertanggungjawab arahan, Saif al-Islam menyusun pengambilan tentera upahan dan pembabitan al-Senussi dalam serangan terhadap penunjuk perasaan,” kata Moreno-Ocampo.

Panel hakim ICC akan memutuskan sama ada untuk menerima atau menolak permohonan pendakwa itu.
Sejak bantahan bermula 15 Februari lalu terhadap pemerintahan Gaddafi selama empat dekad, beribu rakyat Libya terbunuh dan 750,000 lagi terpaksa melarikan diri ke negara jiran.

Sementara itu di ROME, Menteri Luar Itali, Franco Frattini, berkata hari-hari terakhir regim Gaddafi sudah boleh dihitung dan sesetengah anggota kerajaan Libya kini mencari jalan untuk pemimpin mereka hidup dalam buangan.

“Hari-hari regim Libya sedang dihitung.

“Beberapa anggota sudah berbincang secara sulit kemungkinan Gaddafi mencari jalan keluar terhormat,” kata Frattini dalam satu temuramah di saluran televisyen Channel 5, semalam.

Frattini berkata, beliau percaya mereka yang rapat dengan pemimpin Libya itu kini mencari tempat yang sesuai untuk Gaddafi keluar dan hilang dari arena politik untuk selama-lamanya.

“Kami bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu (PBB) untuk mencari jalan politik supaya Gaddafi dan keluarganya keluar dari lapangan ini,” katanya. – AFP
bharian

No comments:

Post a Comment