Pages

Friday, May 20, 2011

Eropah cari ketua IMF baharu


BRUSSELS - Negara-negara anggota Kesatuan Eropah (EU) perlu bersetuju memilih seorang calon yang berwibawa dari Eropah bagi menggantikan Dominique Strauss-Kahn sebagai Ketua Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), kata Suruhanjaya Eropah semalam.

Jurucakap Suruhanjaya Eropah, Pia Ahrenkilde Hansen berkata, sebagai penyumbang terbesar IMF, 27 negara EU perlu memilih seorang calon bagi menggantikan Strauss-Kahn.

"Kami percaya bahawa kami boleh mencari calon-calon yang berwibawa dari Eropah bagi menggantikan Strauss-Kahn," katanya.

"Kami percaya adalah biasa untuk mencalonkan seorang calon berwibawa dari Eropah dan pada masa yang sama, keupayaan calon tersebut dan bukan kerakyatannya atau jantinanya yang menentukan sama ada dia adalah calon yang tepat untuk jawatan ini," tambah Hansen.

Strauss-Kahn meletak jawatan sebagai ketua IMF dengan alasan dia perlu memberi tumpuan untuk melawan tuduhan bahawa dia melakukan serangan seksual terhadap seorang pengemas bilik hotel di New York.

Penangkapannya pada hujung minggu lalu mencetuskan perdebatan sama ada tradisi selama 65 tahun yang menyatakan seorang ketua dari Eropah dilantik mengetuai badan global yang beribu pejabat di Washington itu patut dikekalkan. - Reuters

Kosmo! Online - Dunia

No comments:

Post a Comment