Pages

Thursday, May 19, 2011

Bekas tentera ketuai al-Qaeda


Spekulasi konflik pemimpin berlegar 


WASHINGTON: Pergerakan al-Qaeda memilih bekas pegawai pasukan khas Mesir sebagai pemimpin sementara kumpulan pelampau berkenaan selepas kematian pemimpinnya, Osama bin Laden awal bulan ini, lapor CNN, kelmarin.
Pemimpin kanan tentera dan pakar strategi al-Qaeda, Saif al-Adel, yang berusia dalam lingkungan lewat 40-an dikatakan rapat dengan Osama pada 1990-an, sebelum ditahan di Iran selepas melarikan diri dari Afghanistan berikutan kerajaan Taliban digulingkan tentera Barat diketuai Amerika Syarikat pada 2001.
Akhbar Pakistan, The News melaporkan pelantikan itu semalam tanpa menamakan sumber dalam artikel ditulis dari Rawalpindi, bandar ibu pejabat pasukan tentera Pakistan, berdekatan ibu negara, Islamabad. 

Keputusan memilih Adel yang juga dikenali sebagai Muhamad Ibrahim Makkawi, muncul di tengah-tengah kegelisahan militan terhadap ketiadaan pengganti formal kepada Osama yang dibunuh dalam serbuan dramatik komando Amerika di Pakistan pada 2 Mei. 

Timbalan Ketua al-Qaeda yang sejak sekian lama, Ayman al-Zawahiri, yang juga rakyat Mesir sebelum ini disebut-sebut sebagai pengganti Osama. 
Berikutan perlantikan Adel, timbul spekulasi berlaku perselisihan di kalangan pemimpin peringkat tertinggi al-Qaeda pada peringkat wilayah dan pusat kumpulan itu. 
Jika disahkan dalam jawatan berkenaan, pelantikan Adel adalah tamparan hebat kepada Zawahiri. 

Zawahiri, 59, dilaporkan oleh akhbar itu diberi tugas mengarah operasi luar al-Qaeda, satu jawatan yang lazimnya tidak dipegang lama oleh pemegangnya. 

Perkembangan itu dilihat sebagai penurunan pangkat kepada tokoh yang bukan hanya rapat dengan Osama, tetapi juga terkenal. 

Sebelum ini, kumpulan berkaitan al-Qaeda di Iraq dan Yaman menyatakan sokongan sepenuhnya kepada Zawahiri dan mungkin tidak menerima kepemimpinan Adel, walaupun dalam kapasiti sementara. 

Seorang pakar forum jihad internet, Evan Kohlmann, pemimpin kanan sudah melihat Zawahiri sebagai pemimpin al-Qaeda. 

Kohlmann melaporkan beberapa kumpulan ekstremis sudah menggelar al-Qaeda sebagai ‘Jund al-Ayman’ yang bermakna ‘tentera Ayman.’ 

Pengekalan rangkaian kumpulan bersekutu yang dibentuk oleh Osama adalah cabaran terbesar yang dihadapi pemimpin baru al-Qaeda itu. – AFP/Agensi 

INFO 

Saif al-Adel
 

  • Dikenali sebagai Muhamad Ibrahim Makkawi 
  • Berusia lewat 40-an 
  • Bekas pegawai pasukan khas Mesir 
  • Rapat dengan Osama pada 1990-an 
  • Ditahan di Iran selepas melarikan diri dari Afghanistan

No comments:

Post a Comment