Pages

Saturday, May 28, 2011

Air 'mukjizat' menggemparkan




SEORANG wanita meminum air yang diambilnya dari paip pecah di bahagian tengah Masjid Al Mubaraq di Ampi Permai, Polewali Mandar, Sulawesi Barat.


SULAWESI - Kewujudan pancutan air di sebuah masjid di Polewali Mandar, Sulawesi Barat, Indonesia tiba-tiba menggemparkan penduduk ekoran ia dipercayai mempunyai 'mukjizat' atau sakti untuk mengubati pelbagai jenis penyakit.
Kejadian yang berlaku di Masjid al-Mubaraq Polewali Mandar, Sulawesi Barat itu menyebabkan orang ramai berpusu-pusu datang ke masjid berkenaan untuk mendapatkan air tersebut.
Menurut penduduk tempatan, air yang keluar di tengah-tengah masjid itu boleh menyembuhkan penyakit kulit seperti gatal-gatal, kurap serta banyak lagi jenis penyakit lain.
Selain didakwa bersih untuk diminum, ia juga dikatakan boleh mempermudahkan jodoh seseorang.
Selepas tersebarnya berita itu, penduduk luar turut datang untuk mendapatkan air sakti itu, sehingga menyebabkan ruang solat yang dilimpahi air pancutan dikerumuni orang ramai dan menjadi tempat mandi kanak-kanak.
Kompas.com melaporkan, kepercayaan penduduk tentang kemujaraban air itu semakin menebal selepas ketua mukim dan daerah sendiri turut mengesahkannya.
Pihak masjid yang bimbang orang ramai akan terpengaruh dengan hal-hal mistik ekoran kejadian ini segera melekatkan peringatan di masjid itu, malangnya tidak diendahkan oleh pengunjung yang semakin ramai.
Bagaimanapun, selepas empat hari kejadian itu berlaku, punca sebenar air pancutan itu akhirnya terbongkar apabila petugas Perusahaan Daerah Air Minum (PDAM) mendapati ia sebenarnya dari paip yang bocor.
Perkara itu disahkan lagi apabila pekerja PDAM menggali paip besar yang bocor di sekitar masjid itu, sekali gus menyebabkan penduduk kawasan itu yang sebelum ini berebut-rebut untuk mendapatkannya bertindak membuang air yang mereka telah kumpulkan sebelum ini. - AGENSI
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment