Pages

Tuesday, May 10, 2011

70 juta tak mampu sekolah


DAIF...keadaan serba kekurangan dan sokongan membantutkan usaha memberi peluang pendidikan terbaik kepada kanak-kanak.
DAIF...keadaan serba kekurangan dan sokongan membantutkan usaha memberi peluang pendidikan terbaik kepada kanak-kanak.

HASRAT Paffett Chomanika, sangat berkobar-kobar untuk menjejakkan kaki ke sekolah, malangnya kehidupan keluarga yang sangat daif di sebuah perkampungan terpinggir Wilayah Nsanje, Malawi menyebabkan kanak-kanak berusia sembilan tahun itu hanya mampu memasang angan-angan bergelar doktor.
Hakikatnya, bukan Chomanika seorang saja terjebak dalam kemelut kemiskinan malah hingga kini lebih
70 juta kanak-kanak di seluruh dunia tidak mampu menjejakkan kaki walau sehari pun ke sekolah menjadikan isu keciciran pendidikan masalah global yang tidak pernah selesai.

Biarpun segala usaha sudah dipadukan untuk membasmi masalah ini, penyelesaian mahupun bantuan dihulurkan masih belum mencukupi mengakibatkan masa depan kanak-kanak yang tercicir terus kelam.


Hakikatnya, di manakah tumpuan sebenar masyarakat dunia untuk membantu kanak-kanak terbabit memperbaiki taraf hidup sementara pada masa sama, kebanyakan negara berlumba-lumba memperkukuhkan sistem teknologi peperangan dan ketenteraan masing-masing sebagai kuasa utama dunia.

Presiden Global Kempen Untuk Pendidikan, Kailash Satyarthi, berkata fokus utama masyarakat dunia seharusnya lebih tertumpu kepada penderitaan dan kesukaran negara mundur dengan membangunkan sistem sosial dan masyarakat menerusi pendidikan yang baik.

Menurutnya, meskipun sebagai masyarakat kelas ketiga dan tercicir, namun kelangsungan hidup masyarakat negara berkenaan tidak harus dipinggirkan malah perlu disokong bagi membangunkan sistem pendidikan yang menjadi pemangkin pembangunan jangka panjang.

“Sebenarnya, dunia sedar masih ada sebahagian besar kanak-kanak langsung tidak mendapat peluang menjejakkan kaki ke sekolah ataupun menerima pendidikan yang baik.

“Malangnya sikap hipokrit terutama dari negara yang berlumba-lumba menunjukkan keangkuhan dalam teknologi peperangan dan ketenteraan menguburkan harapan kanak-kanak ini.

“Menyedihkan apabila jumlah wang yang besar boleh dilaburkan bagi tujuan itu tapi gagal memberi peluang kanak-kanak tercicir mendapat pendidikan sempurna.

“Apakah ini bermakna mereka terus berharap dan mengemis bagi mendapat sedikit ilmu untuk mengubah kehidupan mereka atau terus mewarisi kemiskinan dan buta huruf untuk selamanya?,” katanya.

Meskipun ada usaha badan sukarelawan dunia menghulurkan bantuan tetapi tidak mencukupi bagi menampung jumlah diperlukan negara terbabit untuk membangunkan pendidikan dengan purata perbelanjaan kira-kira RM7.6 juta setahun.

Ditambah lagi dengan krisis kewangan dunia yang meruncing menjadikan kanak-kanak di negara miskin seperti Haiti dan Somalia terus menderita.

Masalah itu juga menjadikan negara berkenaan mengorbankan belanjawan sedia ada bagi memberi laluan terhadap aspek yang lebih penting dalam pembangunan ekonomi negara.

Beliau berkata, meskipun alasan yang diberikan logik namun mengorbankan pembangunan ilmu dan pendidikan hanya untuk memberi laluan singkat terhadap keperluan sosio ekonomi dianggap kurang bijak dan dangkal.

“Persoalannya, adakah pendidikan bukan satu sumbangan jangka panjang kepada pembangunan masyarakat? Adakah mereka sangat terdesak hingga sanggup mengorbankan keperluan asas yang menjadi senjata mengubah masa depan rakyat dan negara?

“Bukan mereka saja terkena tempias kemelesetan ekonomi dunia, namun mengorbankan pendidikan adalah tindakan kurang bijak dan kejam kerana menafikan hak individu memperoleh pendidikan yang diwujudkan khusus untuk semua,” katanya.

Pelan Pembangunan Millennium Pertubuhan Bangsa Bersatu juga mensasarkan semua kanak-kanak di seluruh dunia memperoleh sekurang-kurangnya pendidikan asas di sekolah rendah menjelang 2015 sebagai langkah proaktif mengurangkan jurang sedia ada.

Meskipun mengikut rekod badan dunia itu bilangan kanak-kanak tidak bersekolah menurun dari 106 juta pada 1999 kepada 69 juta pada 2008, ia masih jauh dari jumlah sasaran iaitu kira-kira 30 juta.

Jumlah itu, kata Satyarthi, datangnya dari sebahagian besar negara mundur dan miskin dengan yang sentiasa terbabit dengan kemelut pergolakan serta konflik perang saudara tidak berkesudahan.

Katanya, kebanyakan negara berkenaan tidak melihat pendidikan sebagai aset masa depan malah menjadikannya sebagai agenda terakhir yang perlu dibangunkan.
“Mereka melihat kepentingan mengangkat senjata lebih utama daripada melunaskan tanggungjawab terhadap masyarakat.

Bagi mereka, dengan senjata, segala masalah mampu diselesaikan sekelip mata.

“Konflik ini bukan saja menjanjikan kemusnahan malah menyebabkan pembangunan negara tidak selesai. Mereka tidak pernah menganggap pendidikan sebagai senjata terbaik menyelesaikan masalah malah menganggapnya langsung tidak berkepentingan,” katanya.

Pendidikan juga wajar dilihat sebagai ubat terhadap penyakit tertentu terutama dalam mengubati pandangan skeptikal serta diskriminasi masyarakat dunia terhadap golongan wanita yang selama ini ditindas.

Menurutnya, faktor keturunan, gender dan sikap melebihkan golongan lelaki juga menyebabkan sebahagian besar wanita terpaksa menderita serta mengorbankan masa depan demi kepentingan orang lain.

“Ini juga harus dihentikan kerana pendidikan bukan terhad untuk golongan tertentu saja. Pembangunan memerlukan gandingan bersama untuk berkongsi idea dan menjana pemikiran. Malangnya ada golongan wanita terpaksa mengenepikan semuanya kerana tidak diberikan hak.

“Kepincangan ini seharusnya menjadi agenda utama negara sekiranya mahu menjadikan pendidikan sebagai aset terpenting dalam masyarakat. Pendidikan adalah penawar untuk menolak stigma, keganasan serta menjamin keselamatan golongan wanita,” katanya.



INFO



  •  SEPULUH negara yang dikategorikan di bawah paras kemiskinan dan tidak mempunyai akses pendidikan asas berdasarkan jumlah bilangan pelajar dan guru ialah Haiti, Somalia, Eritrea, Comoros, Ethiopia, Chad, Burkina Faso, Central African Republic, Mozambique, Zimbabwe dan Liberia.






  •  Seramai 69 juta pelajar dari negara miskin tidak berkemampuan menjejakkan kaki ke sekolah. Jumlah itu melebihi jumlah keseluruhan pelajar di Amerika Syarikat dan negara Eropah jika digabungkan.




  • mymetro



  • No comments:

    Post a Comment