Pages

Wednesday, April 13, 2011

Ulang tahun ke-50 Yuri Gagarin ke angkasa



Pelajar-pelajar memegang gambar wajah angkasawan pertama Yuri Gagarin pada acara meraikan ulang tahun ke-50 penerbangan beliau ke angkasa di Barnaul, wilayah Altai, Rusia, semalam. - REUTERS


MOSCOW 12 April - Rusia hari ini menyambut ulang tahun ke-50 penerbangan bersejarah Yuri Gagarin ke angkasa lepas, satu pencapaian terbesar Kesatuan Soviet dalam kemajuan sains yang dikenang sebagai detik paling bermakna oleh rakyat negara ini.
Pada kira-kira pukul 9.07 pagi waktu tempatan pada 12 April 1961, Gagarin mengungkapkan perkataan 'mari berlepas' ketika roket Vostok dilancarkan dari Kazakhstan.
Selepas melalui perjalanan selama 108 minit yang membuatkan anak tukang kayu berusia 27 tahun itu dikenang sehingga kini, beliau melonjak keluar dari kapsul angkasa lepasnya dan mendarat menggunakan payung terjun di sebuah padang di wilayah Saratov, tengah Rusia.
Bermula dari saat itu, kehidupannya dan penjelajahan moden angkasa lepas mula berubah.
"Penerbangan Gagarin ke angkasa lepas adalah satu peristiwa paling bersejarah dalam kurun ke-20. Penjelajahannya telah membuka halaman baru dalam perkembangan manusia," kata Pengarah Agensi Angkasa Lepas Persekutuan Rusia, Anatoly Perminov.
Pemimpin-pemimpin moden Rusia menggunakan sambutan ulang tahun tersebut bagi mengingatkan rakyat negara ini tentang pencapaian lampaunya dan Presiden Dmitry Medvedev dijangka mengunjungi satu kawalan misi di luar Moscow bagi bertemu para angkasawan.
Ulang tahun penjelajahan Gagarin itu turut disambut seorang angkasawan yang kini berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) bersama seorang pemuzik rock daripada kumpulan Jethro Tull di Bumi melalui satu persembahan muzik.
Menerusi satu persidangan video, angkasawan Cady Coleman dan penyanyi Ian Anderson mendendangkan lagu Bourree yang pernah dinyanyikan Jethro Tull pada 1969 semasa Neil Armstrong dan Buzz Aldrin menjelajah ke bulan.
White House juga tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada Rusia atas sambutan ulang tahun tersebut. - AFP/dpa

No comments:

Post a Comment