Pages

Saturday, April 2, 2011

Tentera dikerah cari mayat


TENTERA Jepun dan Amerika Syarikat hari ini masih mengadakan operasi mencari mangsa gempa bumi, di ladang padi Ishinomaki yang ditenggelami air, akibat tsunami yang melanda Jepun, tiga minggu lalu. - Foto AFP



ANGGOTA-anggota tentera Jepun menggunakan bot dan helikopter untuk mencari mayat mangsa gempa bumi dan tsunami di sepanjang perairan pantai Ishinomaki di Jepun, semalam. - AP


TOKYO 1 April - Beribu-ribu askar Jepun dan Amerika Syarikat (AS) hari ini melancarkan operasi besar-besaran di laut dan udara untuk mencari mayat mangsa tsunami di sepanjang pantai Pasifik di utara Jepun.
Kedua-dua negara bersekutu itu mengerahkan 120 pesawat udara dan helikopter serta 65 bot dan kapal untuk mencari sekurang-kurangnya 16,441 mangsa yang masih hilang ekoran gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac lalu, menurut Pasukan Pertahanan Jepun.
Sekurang-kurangnya 11,532 orang lagi disahkan terkorban dalam bencana itu.
"Fokus operasi di sepanjang pantai, muara sungai dan kawasan darat yang masih ditenggelami air laut.
"Mayat yang dihanyutkan ke laut selalunya tenggelam dulu, tetapi biasanya terapung semula beberapa minggu kemudian, jadi operasi ini adalah untuk mencari mangsa tersebut," kata seorang pegawai tentera darat Jepun.
Seramai 17,000 askar Jepun dan 7,000 anggota tentera AS menyertai operasi itu, lapor akhbarYomiuri Shimbun.
Bagaimanapun gerakan mencari itu tidak meliputi kawasan dalam lingkungan 30 kilometer dari loji nuklear yang rosak di wilayah Fukushima.
Kerajaan telah memindahkan penduduk dalam lingkungan 20 kilometer dari loji itu, manakala mereka yang tinggal 30 kilometer darinya diminta tidak keluar rumah.
Pasukan kecemasan belum dapat mengeluarkan 1,000 mayat mangsa gempa bumi dan tsunami dari zon 20 kilometer di sekitar loji nuklear Fukushima Daiichi itu kerana persekitarannya dicemari radiasi.
Operator loji, Tokyo Electric Power Co. (TEPCO) melaporkan, radiasi melebihi paras selamat sudah menyerap ke dalam air bawah tanah di bawah loji tersebut tetapi belum menjejaskan bekalan air minum.
Namun pencemaran air bawah tanah 10,000 kali lebih tinggi daripada piawai kerajaan boleh menimbulkan masalah jangka panjang dan sekurang-kurangnya menunjukkan TEPCO belum dapat membendung kebocoran radiasi dari loji itu. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment