Pages

Wednesday, April 6, 2011

Pemberontak jual minyak Libya




ORANG awam Kota Brega menuju Zwatiniya, utara Addabiyah bagi mengelak menjadi mangsa pertempuran bersenjata.
ORANG awam Kota Brega menuju Zwatiniya, utara Addabiyah bagi mengelak menjadi mangsa pertempuran bersenjata.

Sumber kewangan biayai perang, bayar gaji pekerja di kawasan penentang 
BENGHAZI: Pemberontak Libya berharap dapat memulakan penghantaran minyak pertama secara bebas hari ini, bagi membiayai kempen peperangan menghadapi tentera Muammar Gaddafi yang sudah berlarutan beberapa minggu.
Kapal tangki minyak Equator yang mampu membawa satu juta tong minyak mentah, dijadual tiba di pelabuhan Marsa di timur Libya petang ini bagi memunggah kargo. Kapal berkenaan dikendalikan firma Dynacom Tankers Management Ltd dan berdaftar di Liberia.

Pemimpin pemberontak berkata, Qatar bersetuju memasarkan minyak dari bahagian timur Libya yang tidak lagi dikuasai Gaddafi selepas negara kecil Teluk itu mengiktiraf Majlis Pemberontak di Benghazi sebagai kerajaan Libya yang sah.

Itali, pelabur utama dalam industri minyak di Libya semalam, turut menyebelahi pemberontak dan berjanji membekalkan senjata selain mendesak Gaddafi dan keluarganya yang rapat dengan Perdana Menteri Silvio Berlusconi, meninggalkan negara itu.

“Sudah tentu Berlusconi rapat dengan Gaddafi tetapi tidak bermakna negara Itali akrab dengan beliau. Adalah penting bagi Itali mengambil langkah ini kerana hubungan yang sudah lama antara kedua-dua negara,” kata anggota jawatankuasa media pemberontak Jalal el-Galal.

Majlis kebangsaan di Benghazi sebelum ini mendesak dikecualikan daripada sekatan ke atas Libya bagi mengeluarkan sejumlah kecil minyak dari beberapa telaga.
Jualan pertama boleh membantu membayar gaji pekerja dan meningkatkan imej majlis sebagai kerajaan yang sah selepas kuasa Barat memberi sokongan dengan melancarkan serangan ke atas Gaddafi.

Bagaimanapun, harapan pemberontak untuk segera menyingkirkan Gaddafi setakat ini belum menunjukkan sebarang hasil.

Saksi di bandar Misrata memberitahu mengenai pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan tentera Gaddafi di kubu kuat pemberontak di barat negara itu.

Mereka yang berjaya melarikan diri dari Misrata, menyifatkan keadaan di bandar itu umpama ‘neraka’ apabila tentera Gaddafi menggunakan kereta kebal dan penembak curi untuk menyerang penduduk.

Sementara itu, sebilangan penduduk di Tripoli yang marah berikutan kekurangan bahan api dan terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan bahan asas mula meramalkan kejatuhan pemimpin itu secara terbuka.– Reuters
Berita Harian Online | Pemberontak jual minyak Libya

No comments:

Post a Comment