Pages

Saturday, April 23, 2011

Peluru berpandu AS bunuh 25 orang



RAKYAT Pakistan membakar bendera dan patung berupa Presiden Barack Obama semasa menunjuk perasaan membantah serangan AS ke wilayah Pakistan di Multan, Pakistan, semalam. – AFP


ISLAMABAD 22 April - Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh apabila 10 peluru berpandu drone Amerika Syarikat (AS) ditembak ke sebuah rumah di wilayah Waziristan Utara, Pakistan berdekatan sempadan Afghanistan hari ini, kata pegawai Pakistan.
Serangan tersebut dilancarkan sehari selepas ketua tentera Pakistan mengecam serangan seumpama itu dan menyebabkan hubungan antara Washington dan Islamabad bertambah tegang.
Serangan peluru berpandu terbaru AS itu menyerang perkampungan Spinwam, Waziristan Utara yang disyaki menjadi pangkalan kumpulan militan yang mensasarkan tentera AS dan NATO di Afghanistan.
Dua pegawai perisikan menyatakan orang awam dipercayai antara mangsa terbunuh dan sejumlah mangsa cedera dalam serangan AS itu.
Jumlah kematian yang dilaporkan agak tinggi untuk serangan peluru berpandu AS di mana AS jarang mengesahkan serangan seumpamanya.
Walaupun Pakistan telah lama mengecam serangan peluru berpandu kerana mengancam kedaulatan negara ini, ia dipercayai tetap bekerjasama secara rahsia dalam beberapa serangan.
Namun, hubungan Pakistan-AS semakin tegang pada tahun ini selepas seorang kontraktor CIA rakyat AS menembak mati dua warga Pakistan pada Januari lalu.
Satu serangan peluru berpandu pada bulan lepas yang didakwa membunuh berpuluh-puluh anggota puak di wilayah berkenaan turut meningkatkan kemarahan pemimpin Pakistan.
Dalam pada itu, beratus-ratus anggota militan menyerang pos pemeriksaan di barat Pakistan berdekatan sempadan negara ini menyebabkan 14 anggota pasukan keselamatan terbunuh. – AGENSI

No comments:

Post a Comment