Pages

Sunday, April 3, 2011

Pelajar dipukul hampir dua jam



  PARAH... keadaan Saiful Syazani yang parah akibat dipukul gurunya, Khamis lalu.
PARAH... keadaan Saiful Syazani yang parah akibat dipukul gurunya, Khamis lalu.


ARAU: Guru syaitan! Demikian gelaran yang patut diberi kepada seorang guru lelaki sebuah sekolah agama, di sini, yang sanggup membelasah seorang murid lelaki berusia tujuh tahun sehingga koma, Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, guru berusia 26 tahun itu juga dikatakan bertindak kejam apabila mengikat tangan mangsa, Saiful Syazani Saiful Sopfidee di tingkap asrama sekolah berkenaan sebelum membelasahnya.
Difahamkan, guru terbabit tidak mengendahkan walaupun mangsa merayu dan menangis supaya perbuatan itu dihentikan.

Sumber polis berkata, mangsa yang diikat dan dipukul hampir dua jam itu bagaimanapun pengsan selepas mengalami kecederaan dalaman di kepala dan badan akibat dipukul bertubi-tubi oleh guru terbabit.


Katanya, guru terbabit berang dengan mangsa yang enggan mengaku terbabit dalam beberapa kejadian kecurian di asrama sekolah berkenaan sebelum itu.


Difahamkan, sebelum itu mangsa pernah dua kali dipukul suspek akibat enggan mengaku mencuri barangan milik pelajar lain di asrama sekolah.

“Selepas mangsa pengsan, guru terbabit panik dan memanggil guru lain sebelum membawa mangsa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin,” katanya.

Bagaimanapun, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar kira-kira jam 3 pagi kelmarin dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Bapa mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, berkata dia hanya mengetahui kejadian itu kira-kira jam 8 malam kelmarin melalui ibunya ketika anak tunggalnya dipindahkan ke HSB.

“Saya bergegas ke HSB dan sebak melihat keadaan anak saya kini terlantar koma dengan mukanya bengkak selain lebam di mata dan pipi kiri.

“Malah, ada kesan melecet di tangannya kesan akibat diikat dan kini terpaksa menggunakan mesin bantuan pernafasan,” katanya ketika ditemui di HSB, Alor Setar, semalam.

Saiful Sopfidee yang juga pemandu pelancong di Jitra berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan anaknya terbabit dalam kecurian kerana dia bukan nakal dan lebih banyak mendiamkan diri.

Katanya, anaknya tinggal bersama keluarga angkatnya di Kangar sejak kematian ibunya, Jahiyah Che Amat pada 2006 dan kali terakhir dia berjumpa Saiful Syazani setahun lalu.

“Muka anak saya betul-betul seiras arwah isteri saya. Doktor kini memaklumkan keadaan anak saya semakin kritikal,” katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Alor Setar, malam kelmarin.

Katanya, dia mahu individu yang terbabit dalam kejadian itu dihadapkan ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal dengan apa dilakukan terhadap anaknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain ketika dihubungi berkata, mangsa dipercayai dipukul kerana disyaki sering mencuri duit seorang pelajar sebelum aktivitinya dilaporkan kepada seorang warden di situ yang juga suspek utama kes ini.

“Suspek yang juga guru sekolah itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, petang kelmarin,” katanya.

Mohd Nadzri berkata, suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan polis kini menyiasat secara menyeluruh mengenai motif dan punca kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.
myMetroPelajar dipukul hampir dua jam

2 comments:

  1. x kan la umur budak tu 7 tahun? 7 tahun da dok kat asrama..? wa...hebat..rasa mcm salah fakta dr segi umur je...yeke 7 tahun budak tu?

    ReplyDelete
  2. ada juga sekolah agama sediakakan
    asrama untuk darjah 1 hingga darjah 6.

    ReplyDelete