Pages

Friday, April 8, 2011

NATO didakwa bunuh 10 pemberontak Libya


BEBERAPA anggota pemberontak menaiki trak di luar bandar Brega di timur Libya semalam.



AJDABIYA - Serangan udara tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Libya didakwa menyebabkan lebih sepuluh pemberontak maut.
Seorang pegawai NATO menyatakan bahawa pesawat-pesawat perikatan itu membunuh lebih 10 anggota pemberontak yang menentang pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.
Kejadian itu berlaku dalam satu serangan udara di antara bandar ini dan bandar minyak, Brega semasa para pemberontak menentang tentera Gaddafi.
"Kami sedang melakukan siasatan dan kami cuba untuk mendapatkan fakta," kata pegawai berkenaan kepada agensi berita Jerman, Dpa.
"Adalah sukar untuk kita mendapatkan fakta kerana kami tidak mempunyai tentera di darat," jelas pegawai berkenaan.
Pada Selasa lalu, NATO mengaku bahawa beberapa anggota pemberontak dan orang awam terbunuh dalam serangan pada hujung minggu.
Kejadian itu berlaku disebabkan tentera NATO tersilap membuat tanggapan dengan menganggap satu tembakan keraian sebagai satu serangan musuh.
Perikatan itu juga menolak dakwaan Gaddafi bahawa tentera NATO telah mengebom sebuah kilang penapis minyak.
"Dakwaan yang dibuat Gaddafi bahawa NATO bertanggungjawab dalam kebakaran di Telaga Minyak Sarir adalah palsu dan ia berlaku disebabkan oleh serangan tentera Gaddafi ke atas rakyatnya sendiri," kata Ketua Operasi NATO di Libya, Leftenan Jeneral Charles Bouchard.
NATO megambil alih kawalan daripada tentera Barat diketuai Amerika Syarikat (AS) bagi melaksanakan zon larangan terbang di Libya selepas dipersetujui pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Zon larangan terbang dikuatkuasakan bagi mengelak Gaddafi membunuh rakyatnya sendiri bagi menghalang kemaraan tentera pemberontak.
Kebangkitan rakyat di Libya berlaku sejak 15 Februari lalu di bandar Benghazi sebelum ia merebak ke bandar-bandar lain di negara ini.
Para pemberontak itu menuntut perubahan politik dilakukan dengan melibatkan pengunduran Gaddafi sebagai pemimpin selepas beliau memerintah selama empat dekad sejak 1969 melalui rampasan kuasa. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

No comments:

Post a Comment