Pages

Wednesday, April 6, 2011

Klip seks: ‘Negara dah jadi negara tak berakhlak’, kata ulama


Oleh Syed Mu’az Syed Putra

April 06, 2011
KUALA LUMPUR, 6 April — Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata Malaysia kini seolah-olah sudah menjadi negara yang “tidak berakhlak dan tidak bermora”l apabila ada pihak yang sanggup membenarkan rakaman dan gambar pelakuan aksi seks didedahkan kepada umum menerusi media.
Tegas Harussani, tindakan pihak tertentu termasuk media arus perdana menyiarkan gambar aksi seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sesuatu yang bertentangan dengan Islam.
Selain itu, tambah beliau, tindakan mengaibkan seseorang melalui pendedahan rakaman video seks adalah haram di sisi Islam.
“Buka rahsia dan aib orang adalah haram, kalau nak tuntut keadilan tuntut di mahkamah... bukan dengan dedahkannya kepada umum.
“Negara sekarang dah jadi negara yang tak berakhlak... dah jadi tidak bermoral, kenapa jadi macam ini? Kalau nak bawa ke mahkamah, tapi sekarang pun kita belum dapat pastikan lagi siapa dalam video itu,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Justeru beliau menggesa agar semua pihak berhenti daripada membangkitkan isu itu.
“Hentikan, hentikan... buat apa nak cakap benda aib orang lain ini. Buktikan di mahkamah kalau nak cakap, biar mahkamah tentukan.
“Tapi ia belum pasti boleh buktikan kerana orang yang buat pertuduhan kena bawa empat orang saksi kalau tidak dia boleh dikenakan hukuman qazaf iaitu sebat 80 kali, benda ini tidak jelas... saya dah tengok akhbar hari ini, gambar lelaki dalam video itu tidak jelas dan tiada siapa yang boleh buktikan ia adalah Anwar,” katanya.
Rakaman video seks itu dipertontonkan kali pertama kepada media di hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu.
Sejak kelmarin rakaman video seks yang didedahkan “Datuk T” tersebar dimuatkan dalam YouTube dan beberapa blog pro-Umno.
Klip itu yang panjangnya 107 saat menunjukkan dua lelaki dan seorang wanita berada di sebuah bilik sebelum aksi seks dengan pelacur berkenaan, didakwa dari China.
Rakaman asal yang dipertontonkan kepada media di hotel Carcosa Seri Negara dua minggu lalu dilaporkan panjangnya 21 minit.
Klip video hitam putih itu turut membawa jalur warna putih di bahagian bawah dengan tulisan Thailand, yang tidak terdapat pada rakaman yang didedahkan kepada media sebelum ini.
Bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim dilaporkan mengakui diri mereka sebagai “Datuk T” - menggemparkan negara apabila mempertontonkan rakaman video seks itu.
Sementara itu, Mufti Selangor Datuk Tamyes Abd Wahid berkata, pendedahan dibuat “Datuk T” itu adalah satu fitnah dibuat dengan tujuan untuk menjatuhkan imej Anwar yang juga Ketua Umum PKR dan Ahli Parlimen Permatang Pauh.
“Ini adalah satu fitnah, betapa rosak moral orang Islam di Malaysia... fitnah telah berleluasa.
“Sepatutnya kita tahu bahawa fitnah dosanya lebih besar daripada membunuh, negara sudah jadi porak-peranda kerana fitnah yang dibuat ini,” katanya.
Malah Persatuan Ulama Malaysia (PUM) juga menyifatkan tindakan pihak tertentu termasuk media arus perdana menyiarkan gambar aksi seks yang dikaitkan dengan Anwar bertentangan dengan norma masyarakat Melayu dan Islam.
Setiausaha Agung PUM Dr Mohd Roslan Md Nor berkata, pihaknya kesal dengan tindakan itu dan menyifatkan langkah tersebut berniat jahat dan melampaui batasan akhlak, moral dan budaya.
“Atas nama apa alasan sekalipun penyebaran ini adalah satu tindakan jahat, fitnah dan melampaui batasan akhlak, moral dan budaya malah menyalahi etika kewartawanan yang serius.
“Trend membuka aib dan menyebar fitnah bukan norma budaya Melayu Islam, malah menyalahi undang-undang dan etika mana sekalipun di dunia ini,” katanya.
Klip seks: ‘Negara dah jadi negara tak berakhlak’, kata ulama - The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment