Pages

Monday, April 25, 2011

Kempen AS beku aset pemimpin Libya gagal


Banyak negara tidak bertindak, bantu Gaddafi terus serang pemberontak 


LOS ANGELES: Usaha diketuai pemimpin Barat untuk membekukan aset rejim pemerintah Libya di luar negara menghadapi masalah kerana banyak negara di seluruh dunia tidak mengambil sebarang tindakan, lapor akhbar Los Angeles Times, semalam.
Keengganan banyak negara menyertai kempen Barat itu membolehkan tentera pro Muammar Gaddafi terus menyerang pemberontak, terbaru serangannya di kota Misrata menyebabkan 24 terbunuh.
Gaddafi dan anggota keluarganya berada di tempat teratas 18 individu yang diharamkan keluar dari Libya manakala aset 13 lagi individu lain dan lima syarikat dibekukan menerusi dua resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diluluskan pada Februari dan Mac lalu. 

Washington dan Brussels menyekat akses Libya ke atas akaun bank dan pelaburannya di luar negara bernilai AS$60 bilion (RM180 bilion) tetapi negara lain tidak mengambil apa-apa tindakan membekukan berbilion lagi aset Gaddafi dan keluarganya di seluruh dunia sejak satu dekad lalu. 

Ada negara yang rapat dari segi ekonomi dengan Libya seperti Turki dan Kenya serta beberapa negara lain membantah sekatan berkenaan manakala China dan Russia enggan memperluas sekatan. 

Sementara itu, pertarungan sengit meletus semula di Misrata menyebabkan 24 orang lagi penduduk maut ketika tentera pro Gaddafi dilaporkan terus memasuki bandaraya ketiga terbesar di Libya itu. 
Amerika berkata, pesawat Predator sudah memulakan serangan di Libya, memusnahkan sebuah pelancar roket kerajaan yang mengancam penduduk di bandaraya di barat itu. 

Timbalan Menteri Lluar Libya, Khaled Kaim berkata tentera menangguhkan operasi di Misrata untuk membolehkan ketua puak berunding dengan pemisah. 

Jika mereka tidak menyerah diri dalam masa dua hari lagi, kumpulan puak bersenjata akan melawan mereka menggantikan tentera, katanya. 

Beratus-ratus penduduk terbunuh dalam pemberontakan Misrata dalam tempoh dua bulan di mana kerajaan dibantu oleh meriam, mortar dan penembak curi. – Agensi 

No comments:

Post a Comment