Pages

Friday, April 15, 2011

Keadaan kesihatan Hosni Mubarak stabil


SEORANG anggota polis memeriksa bunga yang akan dihantar untuk Hosni Mubarak oleh orang awam dekat sebuah hospital di Sharm el-Sheikh, Mesir semalam.


KAHERAH - Bekas presiden Mesir, Hosni Mubarak, 82, yang ditahan untuk disiasat berkaitan keganasan ke atas penunjuk perasaan kini berada dalam keadaan stabil selepas diserang sakit jantung, lapor agensi berita rasmi MENA dalam satu kenyataan ringkas semalam.
Penunjuk perasaan yang berjaya menyebabkan Hosni meletakkan jawatan pada Februari lalu menyifatkan penahanan pemimpin itu dan dua orang anaknya iaitu Gamal dan Alaa sebagai 'langkah positif' yang diambil oleh pihak tentera yang memerintah negara ini buat sementara waktu.
Ketiga-tiga mereka ditahan selama 15 hari mulai Rabu lalu.
Hosni dihantar ke sebuah hospital di pusat peranginan Sharm el-Sheikh, Mesir selepas beliau mengalami serangan jantung semasa disoal siasat oleh pendakwa raya pada Selasa lalu.
Beliau ditahan di sebuah hospital di sini dengan kawalan keselamatan yang ketat.
Gamal dan Alaa pula ditahan di kompleks penjara Tora di Kaherah yang turut dihuni oleh beberapa orang bekas pegawai pemerintah dan tahanan politik Mesir.
Ketua pendakwa raya, Abdel Maguid Mahmud mengesahkan penahanan selama 15 hari itu sebagai sebahagian daripada inkuiri ke atas penggunaan tentera terhadap penunjuk perasaan sepanjang kekacauan pada Januari dan Februari lalu.
Sekutu Hosni sejak sekian lama, Amerika Syarikat terus berdiam diri berkaitan perkembangan itu sambil menyifatkan penahanan tersebut sebagai masalah dalaman Mesir.
Hosni didakwa mengarahkan tembakan dilepaskan ke arah penunjuk perasaan ketika kebangkitan rakyat bermula pada 25 Januari lalu.
Hampir 800 orang maut dalam tempoh tersebut.
Beliau meletak jawatan pada 11 Februari setelah kekacauan berlarutan selama 18 hari. - AFP, Kosmo

No comments:

Post a Comment