Pages

Sunday, April 10, 2011

Jepun haram petani tanam padi di tanah tercemar radiasi

BEIJING 9 April - Kerajaan Jepun akan mengharamkan petani daripada menanam padi di tanah yang dicemari radiasi dari loji tenaga nuklear Fukushima yang rosak akibat gempa bumi dan tsunami bulan lalu.
Pengharaman itu akan dikuatkuasakan ke atas semua tanah yang dicemari tahap radiasi tinggi dan petani terlibat akan diberi pampasan.
Setakat ini, tanah yang memiliki kandungan radiasi tinggi hanya ditemui di dua tempat di Iitate, sebuah perkampungan yang terletak kira-kira 40 kilometer dari loji nuklear Fukushima Daiichi yang rosak akibat bencana berkembar bulan lalu itu.
"Kami perlu melaksanakan polisi itu secepat mungkin kerana waktu ini adalah musim menanam. Kita juga mahu mendengar pendapat pakar dan pegawai tempatan tentang bagaimana untuk memulihkan tanah ini," kata Menteri Pertanian, Michihiko Kano yang mengumumkan pengharaman itu semalam.
Terdapat juga kebimbangan tentang radiasi dalam sayuran dan susu, sehingga menyebabkan beberapa negara terutamanya China telah mengharamkan import barangan tertentu dari Jepun.
China semalam turut memperluas lagi pengharaman import makanan dan pengeluaran dari Jepun yang merangkumi barangan makanan, pengeluaran pertanian dan makanan ternakan dari 12 lokasi berhampiran loji Fukushima, lapor agensi berita Xinhua yang memetik kenyataan Pentadbiran Keselamatan Makanan Kuarantin.
Pentadbiran itu turut meminta supaya sijil bebas radiasi disertakan bersama makanan yang diimport dan lokasi pengeluarannya juga perlu dinyatakan.
Kesatuan Eropah pula mengetatkan tahap radiasi yang boleh diterima dalam makanan import dari Jepun, semalam. - AP/AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment