Pages

Monday, April 11, 2011

Israel tolak serang Iran sejak 2005


BAITULMAQDIS 10 April - Pegawai pertahanan Israel seawal 2005 menolak kemungkinan rejim Zionis itu melancarkan serangan ke atas kemudahan nuklear Iran.

Pendirian Israel itu didedahkan oleh kabel diplomatik Amerika Syarikat (AS) yang dibocorkan kepada laman web WikiLeaks.
Dokumen yang disalurkan kepada akhbar Israel, Haaretz oleh WikiLeaks itu memperincikan perbualan antara diplomat AS dengan pegawai pertahanan Israel, yang menunjukkan rejim Yahudi itu tidak merancang untuk menyerang program nuklear Teheran.
Satu kabel pada Disember 2005 memetik pegawai Israel sebagai berkata, 'tidak ada kemungkinan serangan tentera dilancarkan ke atas Iran', lapor Haaretz.
Satu lagi telegram sebulan kemudian, yang memperincikan perbualan antara seorang anggota Kongres AS dengan timbalan ketua Suruhanjaya Tenaga Atom Israel ketika itu, Ariel Levite memberi gambaran lebih jelas bahawa Israel menganggap serangan ke atas kemudahan nuklear Iran sebagai tidak boleh dilaksanakan.
Levite berkata, kebanyakan pegawai Israel tidak percaya penyelesaian menerusi tindakan ketenteraan boleh dilakukan.
"Mereka percaya Iran telah belajar daripada serangan Israel ke atas reaktor Osirak di Iraq (pada 1981) dan menempatkan komponen program nuklearnya dalam kedudukan berselerak di seluruh Iran, sehingga sesetengah elemennya langsung tidak diketahui oleh Israel", menurut telegram AS yang dipetik oleh Haaretz.
Israel, satu-satunya rejim di Asia Barat yang mempunyai senjata nuklear, menganggap Iran sebagai musuh nombor satu selepas Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad berkali-kali meramalkan rejim Zionis itu akan runtuh.
Israel seperti kuasa Barat menuduh Iran menggunakan program tenaga nuklearnya untuk menyembunyikan usaha membina senjata atom. - AFP
-Utusan

No comments:

Post a Comment