Pages

Saturday, April 16, 2011

Derita hilang lima anak

GAMBAR 2005... Siti Zulaikha pastinya belum mengerti penderitaan kehilangan lima adik-beradiknya seperti dirasai ibu, Jamilah Majid dan bapanya, Zulkifli Mohd. Noor. Ini kerana ketika tragedi 2004, dia berusia setahun dan kini baru berumur lapan tahun.

SAYA minta maaf sangat-sangat dari hujung rambut hingga hujung kaki. Kasihanilah isteri saya.
"Kami tak mahu lagi kenang peristiwa tsunami itu. Tolonglah faham, jangan datang ke rumah kami," pinta suara garau milik Zulkifli Mohd. Noor, 49, ketika dihubungi sebelum talian telefon kemudian terputus.
Mendengar kata-kata itu, kami ditemani wartawan S2 dari cawangan Pulau Pinang, Rokiah Abdullah, berasa amat kecewa. Jauh di sudut hati, kami tetap menyimpan harapan menggunung untuk bertemu dengannya.
Zulkifli, bapa tabah yang bekerja sebagai pemandu bas kilang dan menetap di Pondok Upeh, Balik Pulau, kira-kira 40 kilometer dari pusat bandar Geogetown.
Beliau adalah suami kepada Jamilah Majid, 46, yang sama-sama berkongsi perasaan sedih kematian lima anak dalam kejadian menyayat hati dalam tragedi tsunami pada 26 Disember 2004.
Kami kemudian mengambil keputusan untuk singgah dahulu di Tanjong Bungah, satu lagi kawasan yang pernah dilanda tsunami pada tarikh itu.
Setelah menemui beberapa mangsa di situ dan mendapatkan gambaran lebih jelas tentang kejadian tujuh tahun lalu, kami nekad ke rumah Zulkifli lewat petang itu. Sepanjang perjalanan, pelbagai andaian timbul.
Nasib menyebelahi kami apabila melihat lelaki itu sedang duduk bersama seorang rakannya di hadapan rumah.
Zulkifli yang agak terkejut dengan kehadiran kami, segera mengajak kami beredar untuk berbual tidak jauh dari rumahnya.
"Minta maaflah sebab tak jemput masuk ke dalam rumah. Saya tak sampai hati tengok isteri saya. Sampai sekarang, dia masih trauma, emosinya terganggu kalau cuba tanya kisah lalu.
"Tsunami yang berlaku di Jepun baru-baru ini pun, sedikit sebanyak menyebabkan fikirannya tidak menentu," katanya.
Kami cuba berkongsi perasaan Jamilah. Kami faham kesukaran dihadapi Zulkifli. Bayangkan, anak-anak yang dijaga penuh kasih sayang, daripada tapak kaki hanya sebesar dua jari, tiba-tiba lenyap dalam sekelip mata!
Bukan seorang tetapi lima orang sekali gus! Hakikatnya, hanya Tuhan yang mengetahui betapa beratnya penderitaan yang ditanggung mereka berdua.
"Bukan tak nak terima takdir. Kami pasrah. Kami tahu Tuhan lebih sayangkan mereka (dalam nada sebak). Tapi kenangan bersama anak-anak, itu yang tak sanggup nak diingatkan lagi," ujarnya perlahan.
Menurut Zulkifli, sebelum kehadiran ombak besar, dia sekeluarga termasuk ibu dan anak saudaranya, Erdawati Shamimi, 23, yang hamil enam bulan, berkelah di Pantai Pasir Panjang. Mereka baru selesai makan tengah hari.
"Kami selalu berkelah. Saya gantung buaian untuk anak yang paling kecil di bawah pokok," katanya cuba mengenang kembali peristiwa menyayat hati tersebut.
Dalam masa yang sama, air laut tiba-tiba surut jauh ke tengah dan banyak ikan terdampar di daratan - fenomena alam yang tidak pernah dilihat sepanjang hayatnya.
Ketika anak-anak sibuk mengutip pelbagai jenis ikan, datang ombak besar lalu menghanyutkan mereka di pantai. Dalam kelam-kabut, Zulkifli dan Jamilah terselamat kerana sempat berpaut pada pokok dan batu-batu.
Malangnya, lima anaknya terkorban. Mereka ialah Siti Nurain yang berusia 17 tahun ketika itu; Mohd. Shukri, 12; Siti Nur Shuhada, 10; Nur Atikah, 9, dan Siti Nur Suraya, 5. Turut terkorban, Erdawati. Dua yang terselamat ialah Siti Fairuz, 16, dan Siti Zulaikha, yang berusia setahun pada tarikh kejadian.
Kesemua jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Simpang Empat, Pulau Pinang.
Berbulan-bulan lamanya Zulkifli tidak keluar bekerja. Dia sugul dan kesal kerana tidak mampu menyelamatkan kelima-lima anak mereka yang dilihat tenggelam timbul akibat dipukul ombak.
Setiap detik terbayang peristiwa itu. Suara anak-anak menjerit meminta tolong terngiang-ngiang di telinga tanpa henti. Penderitaan yang tidak dapat ditanggung ialah setiap kali tiba sesi persekolahan dan Hari Raya Aidilfitri.
"Semasa itulah riuh rendah rumah. Masing-masing nak baju baru dan kasut baru. Saya pula, awal-awal lagi bersedia, bekerja kuat untuk menyiapkan keperluan anak," katanya cuba tersenyum.
Sehinggalah suatu hari sebaik bangun tidur, dia bertanya pada diri sendiri: "Sampai bila harus jadi begini?"
Sejak itu, dia berusaha kembali kepada kehidupan biasa - mula bekerja dan berkebun setiap kali mempunyai masa lapang.
Pun begitu, Zulkifli mengakui sehingga kini, tidur malamnya masih bermimpikan anak-anaknya itu terutama Mohd. Shukri, satu-satunya anak lelaki yang dimiliki sebelum ini.
Dia tidak sanggup melihat laut apatah lagi berkelah sebagaimana rutin yang dilakukan dulu.
"Mana boleh lupa, mereka anak-anak saya. Penghibur kami suami isteri. Setiap hari melihat mereka membesar, bermain dan bergurau bersama," katanya.
Sehingga kini, baju sekolah mereka yang dibeli sementara menunggu sesi baru persekolahan waktu itu, masih lagi disimpan dengan baik di dalam almari.
"Apabila melihat baju-baju mereka, hati jadi terlalu pilu. Fikiran akan melayang teringatkan mereka," katanya lagi.
Sekian lama juga rumah terasa kosong. Tiada siapa berani menyentuh kisah lalu. Masing-masing memendam luka yang parah.
Van yang sering digunakan untuk pergi berkelah pula telah lama dijual kerana Jamilah tidak sanggup melihat sebarang kenangan yang ada kaitan dengan kehilangan anak-anak mereka.
"Kami jarang berbincang tentang anak-anak yang telah pergi meninggalkan kami, tentang pengalaman tsunami atau apa sahaja yang berkaitan dengan peristiwa sedih tersebut. Kalau rindu, kami selalunya akan melihat gambar mereka tanpa berkata apa-apa," jelas Zulkifli.
Kini, Siti Fairuz telah berusia 23 tahun. Adiknya, Siti Zulaikha pula berada di tahun dua sekolah rendah.
Di sebalik apa yang berlaku, Zulkifli yakin, Allah sentiasa mendengar rintihannya. Selepas kehilangan Mohd. Shukri, pasangan itu dikurniakan seorang lagi anak lelaki.
"Kami namakan dia Mohd. Zikri. Nama ini dekat-dekat dengan Mohd. Shukri. Dia sekarang dah berusia lima tahun," katanya mengakhiri perbualan, dengan sekali lagi memohon maaf kerana tidak dapat merakamkan gambar terbaru anaknya itu.

No comments:

Post a Comment