Pages

Wednesday, April 13, 2011

Bencana di Fukushima, Chernobyl sama teruk








SEORANG lelaki diperiksa tahap pencemaran radioaktif di Koriyama, Fukushima, semalam.
SEORANG lelaki diperiksa tahap pencemaran radioaktif di Koriyama, Fukushima, semalam.
Pelepasan radioaktif diramal lebih meluas berbanding loji Ukraine
TOKYO: Jepun menetapkan krisis loji nuklearnya setanding dengan bencana atom paling teruk sebelum ini di Chernobyl, Ukraine, pada 1986, selepas menaikkan tahap serius daripada 5 kepada 7 dan satu lagi gempa bumi 6.3 skala Richter di timur Tokyo awal semalam tidak membantu keadaan.
Pada tahap 5, masalah loji Fukushima sama dengan insiden Three Mile Island di Amerika Syarikat pada 1979 manakala tahap 7 membabitkan pelepasan radiasi besar-besaran dengan kesan meluas terhadap kesihatan dan alam sekitar.

Tahap 5 adalah pelepasan terhad bahan radioaktif dengan beberapa kematian, menurut Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).


Belum ada kematian disebabkan radiasi dilaporkan sejak gempa bumi disusuli tsunami melanda Jepun sebulan lalu menyebabkan loji nuklear Fukushima rosak dan melepaskan bahan radioaktif manakala 21 pekerjanya jatuh sakit.


Selepas bahan radioaktif dilaporkan sampai di Amerika dan Eropah, Kementerian Sains Jepun menyatakan, bahan strontium, antara unsur radiasi paling bahaya, dikesan dalam kadar kecil dalam tanah dekat loji Fukushima.


Majlis Keselamatan Nuklear Jepun (NSC) dan Agensi Keselamatan Industri dan Nuklear (NISA) menemui unsur radioaktif iodin-131 dan cesium-137 . 
Sejak krisis nuklear bermula, 500,000 terabecquerel radiasi dan iodin-131 dilepaskan ke udara, melebihi tahap minimum radiasi .


Angka itu melebihi tahap 7.


Menurut Skala Insiden Radioaktif, skala itu membabitkan berpuluh ribu terabecquerel iodin-131. Satu terabecquerel sama dengan satu trilion becquerel, satu ukuran radiasi.


Di Chernobyl, 5.2 juta terabecquerel radioaktif dilepaskan, 10 kali ganda dibandingkan Fukushima tetapi seorang pegawai mengakui loji nuklear Jepun akan mengatasi catatan itu jika pelepasan radiasi gagal dikawal.


Suruhanjaya nuklear negara itu juga mengeluarkan satu kiraan awal jumlah terkumpul pendedahan luaran kepada radiasi, mengatakan ia melebihi had setahun 1 milisievert di kawasan meliputi lebih 60 kilometer ke barat laut loji itu dan kira-kira 40 kilometer ke selatan-barat daya, lapor agensi berita Kyodo.


TEPCO sudah mengepam 10,400 tan air radioaktif paras rendah ke laut untuk mengosongkan kapasiti simpanan untuk air amat tercemar dari reaktor.


Dalam satu tindakan terdesak untuk menyejukkan batang bahan api amat radioaktif, TEPCO sudah mengepam air ke dalam reaktor, sesetengahnya yang mengalami peleburan sebahagian.


Namun strategi itu menghalang tindakan memulihkan sistem penyejukan dalaman loji ketika jurutera perlu memfokuskan bagaimana menyimpan 60,000 tan air tercemar.


Jurutera turut mengepam nitrogen ke dalam reaktor untuk membalas peningkatan hidrogen dan menghalang satu lagi letupan yang menyebabkan lebih banyak radiasi terbebas ke udara, namun mereka berkata risiko satu lagi insiden dramatik berkurangan dengan ketara sejak gempa 9.0 skala Richter melanda 11 Mac lalu. – Agensi,bharian

No comments:

Post a Comment