BERPULUH-PULUH kediaman penduduk Deltaville, Virginia rosak atau musnah dilanda puting beliung. |
FOTO puting beliung melalui daerah Colerain, Carolina Utara, kelmarin diambil oleh seorang penduduk, Richard Burkett. |
JACKSON (Mississippi): Sebanyak 243 puting beliung yang melanda sedozen negeri Amerika Syarikat sejak Sabtu lalu, menyebabkan 45 orang maut selain kerugian besar kepada penduduk apabila beratus-ratus rumah rosak atau musnah.
Selain kehilangan hampir semua harta benda, sebilangan mereka kehilangan rumah yang tercabut akibat ditiup angin kencang.Ketika penduduk memulakan kerja pembersihan dan mencari sisa dari rumah mereka yang boleh digunakan semula, kisah puting beliung mencabut dan menerbangkan pokok seperti kayu besbol, memecah dan menyebabkan rumah tunggang terbalik, kedengaran hampir di mana saja.
Seorang penduduk di Dunn, Carolina Utara, Jonathan Robinson berkata ketika puting beliung mula membadai rumah bergerak miliknya, beliau segera mendukung anak lelaki sepupunya Ayden yang berusia tiga bulan bersembunyi di dalam sebuah peti di bilik tidurnya.
“Malangnya ketika hendak melompat masuk ke dalam peti itu angin puting beliung yang amat kuat memecahkan rumah menyebabkan Ayden terlepas dari pegangan saya dan diterbangkan ke udara,” katanya.
Robinson berkata, selepas puting beliung reda, beliau bersama anggota keluarganya segera menggali runtuhan untuk mencari Ayden.
“Saya rasa akan kehilangannya,” kata Robinson selepas bayi itu ditemui.
Penduduk daerah Askewville, Carolina Utara, Justin Dunlow, 23, hanya mampu berdoa, apabila beliau bersama dua anaknya yang masih kecil dihempap dinding rumah bergerak mereka yang runtuh.
“Saya boleh bina semula rumah saya, tetapi saya tidak dapat ganti dua anak jika kehilangan mereka. Saya bersyukur kerana kami selamat,” katanya.
Audrey McKoy yang tinggal dekat Bladen County sedang berehat apabila puting beliung membadai rumah mereka.
“Ia kelihatan seperti dalam filem The Wizard of Oz,” katanya.
Mereka yang bersembunyi di bilik air sempat mendengar bunyi pokok tumbang dan rumah lain ditiup angin. Sebaik keluar untuk melihat kemusnahan, rumah mereka juga sudah terbalik.
Puting beliung membadai wilayah Deep South termasuk Alabama, Georgia, Louisiana, Mississippi dan Carolina Selatan sebelum bergerak menuju ke Carolina Utara hingga ke Virginia sebelum menuju ke laut.
Akhbar Wall Street Journal melaporkan, puting beliung kuat yang melanda Carolina Utara petang kelmarin, menyebabkan sekurang-kurangnya 22 orang maut.
Pegawai pengurusan kecemasan melaporkan puting beliung memusnahkan 60 buah rumah dan merosakkan lebih 400 yang lain. Gabenor Bev Perdue mengisytiharkan perintah darurat berikutan kejadian itu. – AP/Agensi ,utusan
baca dan tinggalkan jejak
ReplyDelete'Jejak bertapak'
ReplyDeletebaru kena penangan PUITNG TU...
ReplyDelete