Pages

Saturday, April 2, 2011

1,000 mayat dicemari radiasi





  • Foto
    ANGGOTA Polis Metro Tokyo menjalankan kerja mencari mangsa gempa dan tsunami di Minamisoma, Fukushima, Jepun.
  • Foto
    IMEJ video menunjukkan kerosakan di reaktor nombor 4 loji nuklear Fukushima.
  • Foto
    TIGA wanita bertafakur di depan keranda mangsa gempa dan tsunami utara Jepun.


Foto
Paras radioaktif tinggi halang usaha kebumi mangsa, reaktor mungkin ditimbus



TOKYO: Pihak berkuasa Jepun tidak dapat mengambil kira-kira 1,000 mayat di sekitar loji jana kuasa nuklear bermasalah Fukushima kerana bimbang tahap pencemaran radiasi, lapor agensi berita Kyodo, semalam.
Mayat mereka yang terkorban dalam gempa bumi dan tsunami yang meranapkan kawasan itu pertengahan Mac lalu tercemar apabila radiasi mula bocor dari reaktor yang rosak di loji terbabit.

“Selepas penduduk maut, mayat mereka terdedah kepada paras tinggi radiasi,” kata sumber polis.

Pakar mengesahkan maklumat itu, mengatakan mereka menemui paras radiasi tinggi dalam satu mayat ditemui di perkampungan Okuma, lima kilometer dari loji jana kuasa itu.

Polis memberi amaran bahawa mengumpul mayat itu mungkin menyebarkan radiasi ke luar zon perpindahan sejauh 20 kilometer.

Pekerja penyelamat, polis, doktor dan anggota keluarga diberi amaran bahawa mereka berisiko terdedah kepada radiasi jika mereka mengutip mayat terbabit.
Mayat tercemar radiasi akan mencetuskan masalah besar kerana membakarnya mungkin menyebarkan radiasi, sementara menanamnya mungkin menyebabkan tanah sekelilingnya tercemar.

Pihak berkuasa mahu menyahcemar mayat terjejas sebelum dapat dilupuskan. Lebih 11,000 penduduk maut dan 16,500 masih hilang akibat bencana berganda.
Sementara itu, pam konkrit terbesar di dunia milik kerajaan Amerika bernilai AS$4.86 bilion (RM14.67 bilion) di Sungai Savannah, akan dibawa ke Jepun dalam satu langkah kecemasan untuk membantu menstabilkan reaktor di Fukushima.

Pam itu dipindahkan kelmarin dari lokasinya di Aiken County di Hanahan, ke Selatan Carolina untuk menjalani pengubahsuaian kecil.

Dari situ ia akan dibawa dengan trak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson di Atlanta dan akan dibawa dengan pesawat kargo terbesar dunia Antonov 225 buatan Russia yang akan menerbangkannya ke Tokyo.

Pam seberat 86,363 kilogram (190,000 paun) dibuat oleh syarikat Jerman Putzmeister pengepam setinggi 70 meter dan boleh dikawal menggunakan alat kawalan jauh, sesuai digunakan di persekitaran yang mempunyai kadar radioaktif tinggi seperti loji nuklear itu.

“Jepun amat memerlukan pam ini untuk menstabilkan keadaan di loji Fukushima dan kerana itulah pam terbabit akan dihantar ke sana,” kata pengarah syarikat Ashmore Concrete Contractors Inc yang memiliki pam berkenaan, Jerry Ashmore.

Ada kemungkinan reaktor Fukushima ditimbus simen seperti di Chernobyl
Beliau berkata, setakat anya ada tiga pam seperti itu di dunia dan dua daripadanya sesuai untuk menjalankan kerja penstabilan seperti di Fukushima.

“Apa yang saya difahamkan ialah mereka perlukan banyak simen dan konkrit. Pam setinggi 70 meter itu mampu memasukkan 210 meter padu konkrit sejam,” katanya.

Sehingga kini ramai mangsa gempa bumi di Fukushima belum dapat kembali ke rumah selepas gempa 9.0 skala Richter melanda 11 Mac lalu. – Reuters/Agensi
Berita Harian Online | 1,000 mayat dicemari radiasi

No comments:

Post a Comment