WAJAH Wiens sebelum dibedah. |
BOSTON: Seorang lelaki yang cacat teruk di muka selepas terkena kejutan elektrik ketika menggunakan jentera pemetik ceri berjaya menjalani pembedahan pemindahan muka sepenuhnya, semalam, lapor sebuah hospital di Boston.
Dallas Wiens, 25, kini boleh menjalani kehidupan baru dengan wajah yang dibedah 30 petugas perubatan di Hospital Wanita Brigham. Ia dikatakan pembedahan transplan pertama muka sepenuhnya dilakukan di negara itu.
Walaupun pakar pembedahan plastik tidak dapat mengembalikan deria penglihatan Wiens, pemuda itu semakin pulih dan sudah boleh berbual dengan ketua doktor, Bohdan Pomahac.
“Dia sudah bangun dan bersembang di telefon bimbit,” katanya.
“Kejayaan itu mencatat sejarah penting dalam pembedahan transplan di Hospital Wanita Brigham. Pencapaian sulung yang dilakukan pasukan perubatan transplan itu adalah hasil sumbangan organ individu kepada orang lain,” kata Presiden hospital berkenaan, Betsy Nable . Wiens dari Texas mengalami kecederaan pada November 2008 apabila kepalanya menyentuh wayar elektrik bervoltan tinggi ketika bekerja menggunakan jentera pemetik ceri. Kejutan elektrik mencacatkan hampir keseluruhan wajahnya.
Pohamac mengetuai pasukan doktor, jururawat dan pakar bius selama 15 jam bagi menggantikan hidung, bibir, kulit wajah, otot muka dan urat saraf yang memberi rangsangan pada wajah Wiens.
Pembedahan memakan kos AS$300,000 (RM900,000) itu dibiaya Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat sebagai sebahagian penyelidikan bagi membantu kakitangan perkhidmatannya yang mengalami cedera parah. Datuk Wiens, Del Peterson mengucapkan terima kasih kepada pasukan doktor yang berhempas-pulas merawat cucunya. - AFP
kesian sangat tak sanggup tengok org menderita mcm tu
ReplyDelete