Pages

Sunday, March 20, 2011

Terperangkap 9 hari


TOKYO: Seorang nenek berusia 80 tahun dan cucu perempuannya berusia 16 tahun diselamatkan hari ini, selepas sembilan hari terperangkap di bawah runtuhan kediaman yang dilanda gempa bumi dan tsunami di bandar raya Ishinomaki.
TV NHK yang memetik polis wilayah Miyagi berkata, kedua-dua mangsa lemah ketika ditemui tapi masih sedar. Mereka dihantar ke sebuah hospital menggunakan helikopter.

Pemberita NHK yang memetik seorang doktor berkata, kedua-dua mangsa terperangkap di bahagian dapur dan mereka meneruskan hidup dengan memakan yogurt serta makanan lain dalam peti ais.

Mangsa ditemui selepas cucu perempuan terbabit menjumpai jalan keluar ke bumbung sebelum melambai ke arah helikopter penyelamat, kata pemberita NHK.

Remaja terbabit, Jin Abe, mengalami suhu badan rendah, menggeletar dan hilang deria rasa pada buku lali kirinya, kata pemberita itu.

Menurut jurucakap Hospital Palang Merah Ishinomaki, kedua-dua mangsa sedang dirawat.

"Saya hanya sempat melihat sekilas pandang pada warga emas itu yang tertutup matanya. Kelihatannya dia masih hidup," kata jurucakap itu ketika ditanya sama ada nenek itu masih sedar atau sebaliknya. - Reuters

No comments:

Post a Comment