Pages

Sunday, March 27, 2011

Tentera Gaddafi makin lemah

Pemberontak lari meninggalkan kedudukan mereka selepas tentera Muammar Gaddafi melancarkan serangan berhampiran Ajdabiyah, kelmarin. - Reuters


TRIPOLI 26 Mac - Beberapa siri letupan besar menggegar sebuah pangkalan tentera di timur ibu negara Libya awal hari ini, ketika tentera Barat meningkatkan tekanan terhadap pemimpinnya, Muammar Gaddafi dengan bedilan serangan udara.
Serangan yang masuk hari kelapan dalam kempen tentera Barat ini dilancarkan bagi menyekat serangan tentera Gaddafi ke atas penduduk awam dan memusnahkan kemudahan radar di Tajura, yang menempatkan beberapa pangkalan tentera Libya.
"Kawasan itu dibom sebanyak tiga kali berturut-turut. Serangan disasarkan ke atas sebuah lokasi radar tentera," kata seorang penduduk yang tinggal berdekatan.
Menurut pegawai Amerika Syarikat (AS), tekanan berterusan ke atas Gaddafi oleh tentera bersekutu kini membuah hasil sehingga pemimpin Libya itu terpaksa menggunakan khidmat tentera sukarela.
"Hari ini kami menerima laporan bahawa beliau mengambil tentera sukarela untuk menentang pembangkang," kata Laksamana Madya AS, William Gortney.
Sehingga kini Gaddafi dipercayai bergantung kepada kumpulan militia yang dikendalikan anak lelakinya serta senjata dari Afrika untuk menentang kumpulan yang kekurangan senjata tetapi dianggap sebagai tentera pemberontak.
"Beliau kini hampir-hampir tiada pertahanan udara dan kekurangan keupayaan untuk menempatkan atau mengekalkan tenteranya di darat.
"Tentera udara Libya kini tidak boleh beroperasi, kapal perang terpaksa berlabuh di pelabuhan, gudang senjatanya musnah, menara komunikasi tumbang dan kubu pertahanannya tidak lagi berguna," kata Gortney.
Sementara itu, AS dan sekutunya mempertimbangkan untuk membekalkan senjata kepada kumpulan pembangkang Libya, lapor Washington Post hari ini.
Menurut akhbar itu, pentadbiran Presiden Barack Obama percaya, resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang meluluskan campur tangan antarabangsa di Libya adalah 'fleksibel' untuk membenarkan bantuan seperti itu. - AFP

No comments:

Post a Comment